Ahad, 21 Februari 2016 | 11:40am

10 remaja bawah umur antara 48 orang ditahan


ANTARA remaja yang ditahan di lima premis hiburan dan padang Dataran Pahlawan dalam operasi kira-kira empat jam bermula 1 pagi.

MELAKA: Seramai 48 individu, termasuk 10 remaja bawah umur ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di enam lokasi sekitar Melaka, awal pagi tadi.

Mereka berumur antara 13 dan 50 tahun itu ditahan di lima premis hiburan dan padang Dataran Pahlawan dalam operasi kira-kira empat jam bermula 1 pagi.

Operasi membabitkan 45 anggota penguat kuasa itu diketuai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Jabatan Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam negeri.

Pengarah Perundangan dan Penguatkuasaan MBMB, Hazudin Hashim, berkata operasi diadakan selepas pihaknya menerima aduan berhubung gangguan di sekitar premis hiburan yang kebanyakannya beroperasi melebihi masa ditetapkan.

"AADK menahan 16 orang atas kesalahan penyalahgunaan dadah, 22 orang oleh JAIM kerana berpakaian tidak sopan dan minum arak serta 10 orang oleh JKM membabitkan remaja berusia bawah 18 tahun.


ANTARA remaja bawah umur ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di enam lokasi sekitar Melaka, awal pagi tadi.

"MBMB mendapati lima premis hiburan yang diperiksa melanggar syarat majlis tempatan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Negeri Melaka) 2001 kerana tiga daripadanya beroperasi tanpa lesen manakala dua lagi dibuka melebihi masa ditetapkan.

"Kita mengeluarkan kompaun kepada semua premis itu selain merampas peralatan elektronik yang menyebabkan gangguan, semuanya dianggar bernilai RM15,000," katanya kepada pemberita selepas operasi, pagi ini.

Sementara itu, jurucakap JKM berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan 10 remaja berumur antara 15 hingga 18 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sebuah premis hiburan yang diperiksa.

Berita Harian X