Ahad, 21 Februari 2016 | 4:52pm

5 pelatih CCRC Karangan diberkas semula


LIMA pelatih dari PUSPEN Karangan yang melarikan diri berjaya ditangkap di Ladang Bukit Selarong, Kulim. - Foto ihsan Pembaca

KULIM: Lima pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Karangan, di sini, yang melarikan diri awal pagi semalam, ditahan semula pagi ini.

Semua pelatih di pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berusia antara 19 dan 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika bersembunyi di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Selarong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad, ketika dihubungi mengesahkan penemuan semula lima pelatih terbabit selepas gerakan mencari dan mengesan selepas kehilangan mereka disedari kira-kira jam 7.40 pagi semalam.

"Berdasarkan maklumat, warden CCRC Karangan menyedari kehilangan lima pelatih itu jam 7.40 pagi semalam, namun polis hanya menerima aduan mengenainya jam 6.45 petang sebelum gerakan mencari dilakukan.

"Mereka dikesan di kawasan kelapa sawit di Bukit Selarong, dekat sini, sebelum ditangkap dengan masing-masing masih memakai pakaian CCRC.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut," katanya.

Berdasarkan maklumat, lima pelatih CCRC itu dipercayai melarikan diri awal pagi semalam, dipercayai menggunakan kain sebagai tali untuk memanjat pagar kawat.

Berita Harian X