Selasa, 23 Februari 2016 | 4:48pm

Sokong 'halal' ganja kenyataan populis

PENGERUSI Jawatankuasa Pelawat Klinik Cure & Care 1Malaysia Tampoi, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat (kanan). - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Cadangan beberapa pihak meminta kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja disifatkan sebagai kenyataan berunsur populis tanpa menyedari kesan buruk kepada perkara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelawat Klinik Cure & Care 1Malaysia Tampoi, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat, berkata kenyataan itu dibuat tanpa mengetahui apa yang dihadapi penagih dadah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, berkata kerajaan mengeluarkan belanja besar bagi membangun dan mengendalikan klinik merawat penagih dadah itu dan tidak seharusnya 'dimusnahkan' begitu sahaja.

"Saya menyelar cadangan supaya kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja.

"Sebagai Pengerusi, saya melihat sendiri kesengsaraan dialami keluarga penagih. Saya mempelawa mereka yang buat kenyataan populis ini untuk tinggal di pusat ini bersama penagih selama seminggu bagi berkongsi kesengsaraan menjalani kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Klinik Cure & Care 1Malaysia Tampoi di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat Cure & Care 1Malaysia Tampoi dan Timbalan Pengerusi Skuad 1Malaysia Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Muhammad Azali Kalki; dan Pengarah Klinik Cure & Care 1Malaysia Tampoi, VM Asok Kumar.

Berita Harian X