Rabu, 24 Februari 2016 | 12:02am

Latihan menyelamat di arus deras

KEMAHIRAN penting untuk operasi menyelamat mangsa banjir dan lemas.- Foto Danial Noordin
KEMAHIRAN penting untuk operasi menyelamat mangsa banjir dan lemas.- Foto Danial Noordin

ARUS deras dan paras air yang meningkat sering kali menjadi musuh utama, menyebabkan cabaran dihadapi ketika tugas mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan sering berdepan kesukaran.

Justeru, latihan mantap dan berterusan cukup penting dalam memastikan tahap kesiapsiagaan setiap anggota sentiasa berada pada tahap membanggakan, apatah lagi senario yang bakal ditempuhi dalam setiap operasi SAR berbeza-beza.

Bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, latihan diadakan di Sungai Santap berhampiran Kampung Bukit Teriak, dekat Pokok Sena, Kedah, baru-baru ini adalah sebahagian daripada usaha terbabit yang turut dirangka untuk menguji kecekapan anggota dan pegawai, khususnya ketika berdepan situasi banjir.

ANTARA "adegan' dalam latihan.
ANTARA "adegan' dalam latihan.

Pos bomba berhampiran sungai

Latihan disertai 100 anggota dan pegawai JBPM Kedah, khususnya di Zon 1 membabitkan lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Alor Setar, Jitra, Bukit Kayu Hitam, Jalan Raja dan Kuala Nerang itu turut dirangka khusus untuk mendalami dan menguji keberkesanan kaedah diguna pakai bagi menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Ahmad Shahabuddin, berkata motif utama latihan ialah mempertingkat pengetahuan anggota JBPM Kedah untuk berfikir dan menggunakan segala kemahiran yang dipelajari bagi memudahkan operasi SAR membabitkan mangsa yang terperangkap dalam banjir.

"Berdasarkan perancangan, kami akan sediakan pos bomba di kawasan berhampiran sungai terbabit sekiranya paras air meningkat.

"Ini bagi membolehkan operasi menyelamat dilakukan dengan mudah.

"Anggota kami sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir pada setiap penghujung tahun iaitu pada Disember, dengan pelbagai latihan seperti penyelamatan, ujian pengendalian bot dan pelbagai aset yang ada termasuk kenderaan serta PPDA," katanya ketika meninjau latihan persediaan banjir yang diadakan Peringkat Zon 1, baru-baru ini.

Operasi itu diketuai Ketua Zon 1, Penguasa Kanan Bomba I, Deang Enden Lem dengan dipantau Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Nazri Zakaria; Penolong Pengarah Penyiasatan Kebakaran JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamad Yunus Abu dan Pegawai Latihan JBPM Kedah, Penguasa Bomba, Mohd Mazukhi Shafie.

ANGGOTA bomba memeriksa "mangsa lemas" ketika simulasi menyelamat mangsa banjir.
ANGGOTA bomba memeriksa "mangsa lemas" ketika simulasi menyelamat mangsa banjir.

LATIHAN penting untuk tingkatkan kesiapsiagaan.
LATIHAN penting untuk tingkatkan kesiapsiagaan.

Enam aset lancarkan latihan

Dalam latihan ini, JBPM Kedah menggunakan dua bot, dua lori dan dua Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk melancarkan latihan.

Tiga anggota dari PPDA Sungai Petani bertindak sebagai mangsa lemas dan diselamatkan oleh anggotanya ketika kawasan kampung ditenggelami banjir, manakala mangsa lain masih hilang.

Latihan mencari dan menyelamat dilakukan di Kampung Bukit Teriak, Kampung Telaga Mas dan Kampung Paya Lengkuas, untuk mengesan baki lapan lagi mangsa yang belum ditemui.

Sebelum itu, anggota yang berada di lokasi akan menyalurkan maklumat berkaitan banjir ke Pusat Gerakan Operasi (PGO) di Ibu Pejabat JBPM Kedah untuk mendapatkan bantuan dari balai berhampiran sekiranya didapati ramai mangsa terperangkap.

Operasi menyelamat mangsa dilakukan menggunakan pengusung dan segala peralatan khas untuk menyelamatkan mangsa lemas. Mangsa yang cedera pula akan dihantar terus menggunakan EMRS ke hospital berhampiran.

ANGGOTA bomba memulakan latihan simulasi menyelamat mangsa banjir dan lemas di Sungai Santap, Pokok Sena.- Foto Danial Noordin
ANGGOTA bomba memulakan latihan simulasi menyelamat mangsa banjir dan lemas di Sungai Santap, Pokok Sena.- Foto Danial Noordin

Pantau sungai kerap banjir

Ahmad berkata, pihaknya sering membuat pemantauan di beberapa sungai di negeri ini, selain mengadakan latihan sebagai persediaan menghadapi banjir berikutan cuaca tidak menentu yang boleh mengakibatkan banjir.

Beliau berkata, antara sungai dikenal pasti termasuklah Sungai Temin di Changlun, selain Sungai Padang Terap, Sungai Anak Bukit, Sungai Kedah di Kota Setar dan Sungai Bata di Kubang Pasu.

"Selain itu, Sungai Pendang, Sungai Tanjung Bendahara dan Sungai Kerian masing-masing di Kulim, Sungai Bukit Kemboja di Langkawi, Sungai Muda di Jeniang, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, dikenal pasti sering ditenggelami air ketika banjir," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan latihan dan operasi secara berperingkat di Zon 2, 3 dan 4 untuk memastikan semua anggota dan pegawai melakukan latihan sepenuhnya dalam menghadapi persiapan situasi banjir di negeri ini.

"Latihan ini penting bagi memantapkan lagi jabatan dalam melakukan operasi menyelamat dan mencari mangsa," katanya.

Berita Harian X