Rabu, 24 Februari 2016 | 6:20pm

Lelaki ditahan ketika cuba ceroboh rumah


LELAKI yang ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Saujana Putra. - Foto ihsan pembaca BH

KUALA LANGAT: Seorang lelaki ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Saujana Putra di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, suspek berusia 35 tahun berkenaan asyik mengumpil pintu rumah mangsa tanpa menyedari tindakannya disedari jiran yang segera memaklumkan kepada penduduk setempat.

Mereka kemudian mengepung suspek sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Zailan Tasir, berkata pihaknya yang menerima maklumat kejadian bergegas ke lokasi dan menahan suspek.

"Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai alatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah seperti pemutar skru, gergaji, kuku kambing, playar, sarung tangan dan gas pembakar besi.

"Senjata seperti pisau lipat, buku lima dan kerambit turut dirampas daripada suspek.

"Mangsa tiada di rumah ketika kejadian dan mujurlah tindakan suspek disedari jiran," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohd Zailan berkata, suspek direman hingga Jumaat ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan pecah masuk bangunan.

Berita Harian X