Isnin, 20 Oktober 2014 | 11:18pm

Skuad olahraga paralimpik sumbang 2 emas di Incheon


ATLET pecut paralimpik negara, Mohammad Azlan Mat Lazin (kanan) bersama Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraikan kejayaan selepas berjaya mendapat tempat pertama dan kedua dalam acara 100m lelaki T36 pada temasya Sukan Para Asia 2014 di Stadium Asiad Main di Incheon, hari ini. - Foto BERNAMA

INCHEON: Skuad olahraga paralimpik negara meneruskan rentak cemerlang pada hari ketiga Sukan Para Asia 2014 apabila menyumbangkan dua pingat emas di Stadium Utama Asiad di sini, hari ini.

Biarpun mengalami kecederaan, Mohd Azlan Mat Lazim masih mampu menghadiahkan pingat emas kepada negara dalam acara 100m lelaki T36.

Lebih manis lagi, Malaysia turut menguasai acara berkenaan apabila Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat perak manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Jeon Eun-Bae yang mencatat masa 12.65s.

Namun, kejayaan Mohd Azlan itu bukan mudah kerana kemenangan terpaksa ditentukan berdasarkan foto penamat selepas beliau menamatkan saingan dengan catatan yang sama dengan Mohamad Ridzuan.

Kedua-dua atlet negara itu mencatat masa 12.38s.

"Sukar mahu menggambarkan perasaan saya selepas memenangi emas hari ini kerana terpaksa bersaing dengan rakan sendiri (Ridzuan)," kata Mohd Azlan kepada pemberita sejurus tamat acara berkenaan.

Ketua jurulatih olahraga negara, R Jeganathan berkata kejayaan meraih emas dan perak cukup bermakna selepas kedua-dua atlet berkenaan bekerja keras selama empat tahun selepas temasya berkenaan di Guangzhou, China.

"Saya sendiri tidak menyangka Azlan dapat mengatasi masalah kecederaan otot belakangnya untuk memenangi perlumbaan tersebut. Apa yang pasti, mereka bekerja keras untuk mengharumkan nama Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Ridzuan berjaya mengubati rasa kecewa apabila meraih emas kedua negara dalam olahraga hari ini apabila mengungguli acara lompat jauh lelaki T36/37/38 selepas melakukan lompatan sejauh 5.42 meter.

Pingat perak dimenangi Shang Guangxu dari China dan gangsa diraih atlet Iran, Ali Olfatlavi.

Semalam, skuad olahraga paralimpik negara meraih dua emas menerusi Siti Noor Radiah Ismail dan Muhammad Ziyad Zolkefli. - BERNAMA

Berita Harian X