Khamis, 25 Februari 2016 | 12:09am

Dibenarkan tukar mazhab dengan syarat

Soalan: Setiap hari saya ke tempat kerja menaiki pengangkutan awam. Kadang-kala saya terpaksa berhimpit-himpit dan tersentuh antara lelaki dan perempuan. Mohon pandangan ustaz sekiranya ada wuduk bolehkah saya pakai mazhab yang membolehkan bersentuh lelaki dan perempuan?

Jawapan: Ulama berselisih pendapat berkaitan hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Imam al-Shafi'i dan Ibn Hazm berpandangan batal wuduk sekiranya bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Selain itu, Imam Ahmad dan Imam Malik berpendapat akan terbatal wuduk sekiranya perbuatan itu berlaku dengan syahwat.

Pendapat ketiga, iaitu Imam Abu Hanifah dan Muhammad bin Hassan al-Syaibani mengatakan tidak batal wuduk sekiranya berlaku sentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Ketiga-tiga pendapat ini mempunyai hujah tersendiri daripada al-Quran dan al-Sunah.

Dalam ketiga-tiga pendapat itu, pandangan Imam al-Shafi'i lebih sesuai dengan konteks Malaysia yang mengamalkan mazhab Shafi'i. Selain itu, Imam al-Shafi'i lebih berhati-hati (ihtiyath) dalam setiap pandangannya.

ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Berkaitan isu berpindah mazhab, ia dibenarkan dalam Islam dengan syarat tidak berlaku talfiq (mencampurkan mazhab) yang diharamkan. Dimaksudkan dengan talfiq diharamkan adalah mencampurkan pendapat ulama dalam satu masalah sama.

Sebagai contoh, mengambil wuduk dengan cara mazhab Shafi'i, tetapi menggunakan mazhab Hanafi dalam isu berkaitan sentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram (mazhab Hanafi tidak batal wuduk).

Dalam situasi ini, sekiranya seseorang hendak menggunakan mazhab Hanafi dalam isu berkaitan sentuhan antara bukan mahram, maka individu berkenaan perlu mengambil wuduk dengan cara seperti dianjurkan mazhab Hanafi.

Sekiranya anda yakin dan jelas dalam perkara ini, maka dibenarkan bertukar mazhab seperti dijelaskan namun jangan sampai kepada tahap mencari cari pandangan ulama yang ringan dan mudah dalam mazhab (tatabbu' al-rukhas).

Oleh itu, sebagai orang awam yang berada di Malaysia digalakkan beramal dengan mazhab Shafi'i kerana ia lebih selamat. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan berlaku kecelaruan dalam amalan seharian dan juga ibadah umat Islam di Malaysia. Wallahua'lam.

Berita Harian X