Selasa, 21 Oktober 2014 | 5:10am

Guna bahasa Melayu tak jejas jati diri etnik

Jika usia lebih setengah abad kemerdekaan negara dijadikan ukuran, kelemahan tahap penguasaan bahasa, bahasa kebangsaan terutama dalam kalangan bukan Melayu yang lahir dan mendapat pendidikan di negara ini, amat memalukan.

Walaupun kelulusan dan kepujian dalam bahasa kebangsaan diberi penekanan dalam peperiksaan utama pada peringkat sekolah rendah dan menengah serta dijadikan syarat untuk pengambilan kakitangan awam, ia tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan rakyat, khususnya yang berketurunan Cina.

Pelbagai alasan diberikan mengenai kepincangan itu - daripada penekanan kepada penggunaan bahasa Inggeris; peningkatan sekolah jenis kebangsaan; kehadiran ratusan kolej dan universiti swasta; kaedah pembelajaran subjek bahasa; sehinggalah kepada kesungguhan kerajaan sendiri untuk menunjukkan kita benar-benar mahu memartabatkan bahasa kebangsaan.

Apa pun alasannya, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan hanya kekal retorik selagi tiada keikhlasan semua pihak, terutama dalam kalangan penggerak sekolah jenis kebangsaan untuk bukan setakat mempertingkatkan penguasaan tetapi menanam rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda bukan Melayu.

Tingkat penguasaan bahasa

Datuk Seri Najib Razak, ketika memberi jaminan kepada masyarakat Cina minggu lalu bahawa pembelajaran bahasa ibunda di SJKC termaktub dalam Perlembagaan, turut meminta supaya penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan mereka dipertingkatkan agar lepasan sekolah itu boleh bertutur bahasa kebangsaan dengan lancar dan baik.

"Kita harap SJKC belajar bahasa kebangsaan dengan baik, boleh tak? Jangan guna 'gua', 'lu' lagi. Bercakap seperti Presiden MCA. Keseluruhan ucapan dasar beliau dalam bahasa (Melayu), tahniah. Kita hendak macam itulah, lancar bahasa kebangsaannya," kata Perdana Menteri ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 akhir minggu lalu.

Walaupun beliau melontarkan permintaan itu dalam nada jenaka, ia juga boleh dilihat sebagai cabaran kepada masyarakat Cina, terutama pelbagai pertubuhan pendidikannya yang membuat pelbagai tuntutan seolah-olah isu SJKC adalah nyawa mereka.

Timbulnya desakan daripada beberapa pertubuhan dan pemimpin politik Melayu supaya kerajaan memperkenalkan hanya satu sistem persekolahan, antara lain disebabkan tindak-tanduk pertubuhan pendidikan Cina ini yang sentiasa melawan arus dan tidak pernah menunjukkan sikap bertolak ansur, apalagi bersama-sama membantu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan.

Anehnya, ramai generasi Cina yang lahir dalam dekad pertama dan kedua negara merdeka dilihat tidak mempunyai masalah untuk menguasai bahasa Melayu, malah beberapa pemimpin politik Cina bukan saja bertutur bahasa kebangsaan lebih baik berbanding sesetengah orang Melayu, malah ada yang boleh menulis dan membaca jawi.

Tidak jejas jati diri

Sebagaimana Melayu yang menguasai bahasa Inggeris atau Mandarin tidak mengurangkan kemelayuan mereka, kemampuan dan kecenderungan mereka untuk sentiasa menggunakan bahasa kebangsaan, sedikitpun tidak mencalarkan jati diri mereka sebagai orang Cina.

Majoriti rakyat negara, ini termasuk orang Melayu bukan semuanya bersetuju dengan desakan untuk memansuhkan pendidikan Cina. Apa yang mereka harapkan ialah pendidikan Cina turut menyumbang kepada usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kerana ia adalah bahasa rasmi mereka yang mengaku rakyat Malaysia.

Secara kebetulan minggu lalu juga, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan masih belum benar benar berjaya. Berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014, beliau sehubungan itu meminta pembabitan semua warganegara menjayakan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Walaupun pahit, itulah hakikatnya yang berlaku di negara ini. Usaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai alat perpaduan serta meningkatkan martabatnya tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa keikhlasan dan semangat patriotik sebenar dalam kalangan rakyat, walau apapun bangsa dan agama mereka.

Berita Harian X