Khamis, 25 Februari 2016 | 1:49pm

Aquino minta pengundi hentikan kebangkitan keluarga Marcos

PRESIDEN Filipina, Benigno Aquino.
PRESIDEN Filipina, Benigno Aquino.

MANILA: Presiden Benigno Aquino menggesa pengundi menghalang kebangkitan semula politik keluarga Ferdinand Marcos, ketika negara itu merayakan ulang tahun ke-30 'Kuasa Rakyat' yang menumbangkan bekas diktator itu.

Kempen pilihan raya adalah lembaran terbaharu permusuhan antara keluarga Aquino dan Marcos, dua keluarga paling berpengaruh di negara yang dikenali dengan pemerintahan dinasti elit.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, puluhan ribu didera dan dipenjarakan ketika pemerintahan Marcos selama 20 tahun, dan kerajaan menganggarkan keluarga berkenaan merompak AS$10 bilion (RM42 bilion) harta rakyat.

Namun tinjauan pendapat mendapati pengundi muda berkemungkinan memilih Ferdinand Marcos Jnr yang berkarisma sebagai Naib Presiden pada pilihan raya Mei ini.

"Pemerintahan Marcos bukan zaman kegemilangan. Ia adalah bahagian paling menyakitkan dalam sejarah kita," kata Aquino kepada 3,000 pelajar dan pekerja kerajaan di majlis mengingati kebangkitan pada 1986 itu.

Mendiang bapa Aquino dibunuh tentera dan polis pro-Marcos di lapangan terbang Manila pada 1983 ketika cuba kembali daripada hidup dalam buangan di Amerika Syarikat untuk mengetuai bantahan terhadap diktator itu.

Kemarahan penduduk berhubung pembunuhan mencetuskan api revolusi, yang diketuai isteri wira demokrasi itu, Corazon Aquino. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X