Khamis, 25 Februari 2016 | 5:27pm
MAYAT Kevin ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September tahun lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Bicara kes bunuh Kevin mulai 4 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 16 hari bermula 4 April ini untuk perbicaraan kes enam lelaki dan seorang doktor yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais, yang mayatnya ditemui dalam tong dram berisi konkrit pada September tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini untuk prosiding serahan dokumen.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan 79 jenis dokumen berkaitan kes itu termasuk 700 keping gambar kepada pihak pembelaan pada pagi ini .

"Kami akan mengadakan rundingan prabicara untuk berbincang mengenai eksibit yang akan dikemukakan kepada mahkamah dan saksi-saksi yang akan dipanggil. Setakat ini, pihak pendakwaan mempunyai 60 saksi," katanya.

Abdul Razak juga memaklumkan kes seorang lagi tertuduh, A Murugan, yang didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, di Mahkamah Tinggi Shah Alam selesai apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya selepas dia mengaku bersalah melupuskan nombor casis dan kereta mangsa di bengkelnya di Petaling Jaya.

Katanya, hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum iaitu pada 17 Februari lepas.

Pada 27 Januari lepas, G Gunasekaran, 43; R Dinishwaran, 23; A Thinesh Kumar, 22; M Vishwanath, 25; S Nimalan, 22; dan S Ravichandaran, 34, mengaku tidak bersalah membunuh Kevin yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pakar Patalogi Kolonel Dr R Kunaseegaran, 52, pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala enam lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Peguam V Rajehgopal mewakili Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravichandaran sementara peguam M Manoharan mewakili Dinishwaran dan Thinesh Kumar manakala Kunaseegaran diwakili peguam Datuk N.Sivananthan.

Sementara itu, peguam Datuk Simon Sabapathy bertindak sebagai peguam pemerhati bagi adik bongsu mendiang, Datuk Richard Dilaan Morais, turut hadir hari ini.

Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September tahun lepas.

Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September lepas dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

- BERNAMA

16 dibaca
Berita Harian X