Isnin, 18 Ogos 2014 | 4:20pm
Seorang peniaga jalanan berjalan melintasi iklan perbankan mudah alih di Bangkok, Thailand pada 7 Ogos 2014. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand dijangka berkembang 1.5 peratus pada 2014, selepas mengelak terjerumus kemelesetan apabila pertumbuhan suku kedua positif 0.4 peratus berbanding negatif 1.9 peratus pada suku pertama. - Foto EPA

Ekonomi Thailand menguncup 0.1 peratus separuh pertama 2014

BANGKOK: Thailand mengelak daripada terjerumus kemelesetan dalam suku kedua, tetapi kebimbangan masih berlegar sejauh mana ekonomi akan pulih selepas tentera mengambil alih pentadbiran negara.

Ekonomi itu, yang kedua terbesar Asia Tenggara berkembang 0.9 peratus pada suku kedua, berbanding suku pertama berikutan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna, kerajaan dan eksport.

Pada asas tahunan, ekonomi Thai pada suku kedua berkembang 0.4 peratus berbanding suku sama 2013, manakala bagi separuh pertama 2014, ekonomi Thai menguncup 0.1 peratus.

Lembaga Pembangunan Sosial dan Ekonomi Kebangsaan (NESDB) yang mengumpul data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hari ini menurunkan unjuran pertumbuhan seluruh tahun ini kepada 1.5-2.0 peratus daripada 1.5-2.5 peratus sebelumnya.

Agensi itu juga menurunkan data suku pertama daripada negatif 2.1 peratus kepada negatif 1.9 peratus.

Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 6.4 peratus pada suku kedua 2014 dan 6.3 peratus pada separuh pertama 2014 didorong peningkatan eksport dan permintaan domes tik.

Dalam pada itu, Bank pusat Thailand mengunjurkan akan ada pemulihan berbentuk V selepas melalui tempoh sukar sebelum ini, dengan unjuran pertumbuhan 5.5 peratus tahun depan.

"Hutang isi rumah yang tinggi di Thailand dan arah aliran penyusutan eksport dijangka menjadi antara faktor mengekang pertumbuhan," kata Benjamin Shatil, ahli ekonomi di JP Morgan Singapura.

"Kami mengunjurkan pemulihan sederhana, bukannya yang berbentuk V tahun depan," katanya.

Penyusutan ekonomi Thailand sebahagian besarnya disebabkan krisis politik yang menjejaskan sektor pelancongan dan perbelanjaan pengguna.

NESDB mengunjurkan pertumbuhan pada separuh kedua akan didorong peningkatan keyakinan pengguna dan pentadbiran kerajaan yang kembali normal.

Bagaimanapun, beberapa teras ekonomi Thai masih goyah. Penggunaan kekal lemah, jualan automotif merudum dan eksport menyederhana. - Reuters

Berita Harian X