Khamis, 25 Februari 2016 | 11:06pm

100 murid sekolah di Mumbai keracunan makanan

GAMBAR fail pada 19 Julai 2013 menunjukkan seorang guru menyediakan makanan pada waktu rehat kepada murid sekolah di Amritsar, India. - Foto AFP
GAMBAR fail pada 19 Julai 2013 menunjukkan seorang guru menyediakan makanan pada waktu rehat kepada murid sekolah di Amritsar, India. - Foto AFP

MUMBAI: Hampir 100 murid sekolah India dimasukkan ke hospital disyaki akibat keracunan makanan hari ini selepas makan hidangan percuma tengah hari di sebuah sekolah kendalian kerajaan berhampiran bandar ini, kata polis, menambah sesetengahnya dalam keadaan kritikal.

Timbalan ketua polis daerah Palghar di negeri barat Maharashtra, Shrikrishna Kokate, berkata, 97 murid dimasukkan ke hospital.

"Beberapa mangsa dalam keadaan kritikal. Mereka mula muntah selepas makan tengah hari. Kami menghantar pasukan ke sekolah untuk mengambil sampel. Kes kelihatan seperti keracunan makanan," kata Kokate menambah murid berusia antara enam dan 14 tahun.

Program hidangan tengah hari kerajaan India adalah yang terbesar di dunia, memberi makan 120 juta kanak-kanak setiap hari dan buat ramai, ia satu-satunya makanan penting harian.

Namun skim itu terjejas akibat rasuah dan ketidakcekapan. Pelajar kerap jatuh sakit selepas makan makanan tercemar dan tidak bersih. Pada tahun 2013, kira-kira 24 kanak-kanak maut di daerah miskin di Bihar selepas makan hidangan dicampur racun perosak. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X