Selasa, 21 Oktober 2014 | 10:51am
Beberapa peserta tunjuk perasaan prodemokrasi berdiri di bawah sepanduk 'Demokrasi Tulen' di sekitar daerah Mongkok di Hong Kong semalam. -Foto EPA

Pegawai kerajaan temui pemimpin pelajar di Hong Kong

HONG KONG: Pegawai kanan kerajaan Hong Kong akan menemui pemimpin pelajar buat pertama kali hari ini dalam usaha mengatasi bantahan prodemokrasi selama tiga minggu yang menjejaskan sebahagian daripada pusat kewangan terbesar Asia itu.

Harapan untuk mencapai penyelesaian dijangka agak tipis dalam pertemuan yang akan diadakan pada sebelah petang nanti yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen.

Penunjuk perasaan menggesa agar diadakan pilihan raya bebas apabila Hong Kong memilih pemimpinnya pada 2017 namun China berkeras untuk menyaring calonnya terlebih dulu.

Sumber menyatakan, Beijing percaya ia sudah memberi terlalu banyak kelonggaran kepada Hong Kong pada masa lalu dan tidak akan tunduk kepada bantahan prodemokrasi itu.

Dalam kenyataan yang boleh menyemarakkan lagi kemarahan pelajar terbabit, pemimpin Hong Kong yang disokong Beijing, Leung Chun-ying memberitahu media asing bahawa pilihan raya bebas tidak dapat diterima kerana ia mempunyai risiko memberi suara dominan kepada rakyat miskin dan golongan pekerja dalam politik Hong Kong.

Leung menegaskan, desakan pelajar bagi memperoleh pandangan awam mengenai calon tidak dapat dipenuhi.

"Sekiranya apa yang dimaksudkan mereka adalah perwakilan berdasarkan jumlah penduduk, maknanya kita terpaksa bercakap dengan separuh penduduk di Hong Kong yang memperoleh pendapatan AS$1,800 sebulan," kata Leung kepada akhbar New York Times, Wall Street Journal dan Financial Times.

Pengkritik berkata sistem politik sekarang lebih menguntungkan golongan kaya di Hong Kong yang mempunyai jurang kekayaan terbesar di Asia yang mana majoriti penduduknya tidak mampu memiliki rumah.

Ogos lalu, Beijing menawarkan kepada penduduk Hong Kong peluang untuk memilih pemimpin mereka sendiri pada 2017, tetapi menyatakan hanya dua hingga tiga calon boleh bertanding selepas mendapat sokongan daripada jawatankuasa pencalonan dianggotai 1,200 orang yang dipenuhi penyokong setia Beijing. - REUTERS

Berita Harian X