Jumaat, 26 Februari 2016 | 12:05am

Liza pekakkan telinga didakwa "bingit"


DIKATAKAN bingit ketika awal kemunculan sebagai penyampai radio Hot FM, Liza menganggap setiap komen pendengar menjadi pembakar semangat untuknya tampil lebih bagus.

Liza atau pemilik nama sebenarnya Khairu Norliza Khairudin, 30, berkata setiap kritikan dilihat dari positif, namun andai ia menjurus kepada emosi atau dilakukan untuk mengaibkan dirinya, beliau enggan ambil peduli.

"Setiap komen yang diberikan baik menerusi media sosial mahupun teguran secara peribadi saya akan berikan perhatian. Cuma, jika ia sekadar mahu menyakitkan hati, saya tidak layan," kata gadis kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Biarpun namanya semakin meniti di bibir pendengar setia Hot FM, Liza enggan mendabik dada, sebaliknya sentiasa terbuka menerima segala kritikan membina.

LIZA atau pemilik nama sebenarnya Khairu Norliza Khairudin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
LIZA atau pemilik nama sebenarnya Khairu Norliza Khairudin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Malah, keputusannya untuk berhijrah sempena Fiesta Muslimah anjuran BH, Oktober tahun lalu, juga membuatkan beliau lebih berhati-hati menjaga pergaulan dan penampilan diri. Liza enggan melihat percaturannya berhijrah tidak seiring dengan imej terbaharunya itu.

"Saya maklum pelbagai kritikan diberikan oleh mereka di luar sana. Malah, ada yang menganggap ketawa saya menjengkelkan dan suara saya kedengaran bingit di corong radio, saya menerima baik setiap komen yang diberikan oleh pendengar.

"Setiap teguran dan kritikan itu saya jadikan sebagai rujukan untuk menjadi lebih baik. Namun, saya tidak akan menggubah cara saya kerana ia adalah personaliti dan diri saya sejak azali lagi. Cuma, mana yang dapat saya perbaiki, akan saya usahakan.

"Alhamdulillah, setelah hadir ke Fiesta Muslimah BH dengan bertudung, saya terbuka pintu hati untuk berhijrah menunaikan kewajipan seperti yang dituntut. Malah, ia adalah masa yang sesuai untuk melunaskan hajat di hati.

"Cuma saya belum lagi sempurna sepenuhnya kerana sebagai manusia, masih banyak yang perlu saya pelajari. Saya berharap peminat dan orang ramai di luar sana tidak terus menghakimi saya kerana masih banyak kekhilafan dalam diri untuk saya perbaiki," katanya kepada BH.

LIZA (dua dari kanan) mengambil keputusan mengundurkan diri daripada Hot FM dan menyertai stesen radio baharu Media Prima pada Mac ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
LIZA (dua dari kanan) mengambil keputusan mengundurkan diri daripada Hot FM dan menyertai stesen radio baharu Media Prima pada Mac ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sementara itu, ketika turut diminta mengulas mengenai keputusannya mengundurkan diri daripada Hot FM dan menyertai stesen radio baharu Media Prima pada Mac ini. Liza mengakui tindakan itu diambil demi bakal suaminya, Mohd Khairil Anuar Abdul Ghany.

Jelas Liza, dengan berubah angin ke tempat baharu, beliau dapat meluangkan lebih masa dengan suami kerana waktu kerja yang lebih fleksibel.

"Dia menyokong karier saya, jadi sebagai isteri saya juga perlu berkompromi. Berikutan itu, saya mengambil peluang diberikan pihak pengurusan untuk berhijrah ke stesen baharu. Jadual kerja saya nanti lebih bersesuaian dengan status saya sebagai isteri.

"Saya tidak akan berkesempatan berbuka puasa dengan suami sekiranya masih menjayakan segmen Hot Jam kerana kami diberi amanah untuk menjaga waktu berbuka. Jadi, inilah yang terbaik buat ketika ini dan saya juga teruja bertugas di stesen baharu itu nanti," katanya.

LIZA (dua dari kanan) bersama rakan seperjuangan di Radio Hot FM, (dari kiri) AG, Fara Fauzana dan Ikhwan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
LIZA (dua dari kanan) bersama rakan seperjuangan di Radio Hot FM, (dari kiri) AG, Fara Fauzana dan Ikhwan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Rangkaian Radio Media Prima Berhad dijangka mengumumkan mengenai stesen radio baharu itu menerusi satu sidang media yang akan diadakan pada 1 Mac depan.

Liza dan Mohd Khairil bakal disatukan sebagai suami isteri pada 27 Februari ini di Kuantan. Terdahulu, pasangan berkenaan yang sudah berkenalan selama setahun mengikat tali pertunangan dalam majlis kecil-kecilan pada 10 Oktober tahun lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X