Jumaat, 26 Februari 2016 | 7:38pm

Media Prima Bhd catat keuntungan selepas cukai RM138.7 juta


Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar.

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mencatatkan pendapatan RM1.4 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM138.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Pendapatan syarikat pelaburan media bersepadu itu susut sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ketara dalam PAT adalah berikutan kos yang digunakan di dalam Skim Pemberhentian Bersama (MSS), yang dilaksanakan pada penghujung tahun 2014.

Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, Media Prima meraih pendapatan RM367.1 juta, berbanding RM384.7 juta yang dicatatkan dalam suku sama tahun sebelumnya.

PAT bagi suku keempat dikaji meningkat kepada RM32 juta, berbanding kerugian RM30 juta yang dicatatkan pada suku keempat tahun kewangan 2014.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar, berkata kumpulan menjangkakan satu tempoh yang mana sentimen pasaran kurang memberangsangkan dan ia terbukti dengan penurunan dalam pendapatan pengiklanan daripada semua platform media kumpulan, kecuali segmen "Out-of-Home".

"Walaupun berhadapan pelbagai cabaran, kumpulan masih mampu mengekalkan posisi unggul bagi setiap platform media," katanya menerusi satu kenyataan.

FD Iskandar berkata, Media Prima mengumumkan pengagihan dividen akhir satu peringkat sebanyak lima sen untuk setiap saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Ini menjadikan jumlah dividen yang diumumkan bagi tahun kewangan semasa kepada 10.0 sen bagi setiap saham biasa, atau 80 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI).

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata dengan suasana ekonomi global yang tidak menentu, tahun 2016 akan kekal mencabar bagi kumpulan.

Katanya, selain harga komoditi yang rendah serta penurunan unjuran bagi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, faktor seperti perpecahan dalam pasaran pengguna, peningkatan teknologi, peralihan perbelanjaan pengiklanan kepada medium digital dan saingan sengit daripada peserta baharu serta syarikat media antarabangsa bakal menjadikan 2016 sebagai tahun yang sangat mencabar bagi Media Prima.

"Walaupun amat berhati-hati dengan peningkatan pengiklanan memandangkan sentimen pengguna dan ekonomi semasa yang tidak menentu, kumpulan akan tetap fokus dalam melaksanakan pelbagai strategi penting dalam usaha menyediakan kandungan terbaik bagi pasaran dalam dan luar negeri, di samping berusaha menembusi pasaran baharu sambil menjana aliran pendapatan tambahan," katanya.

Sementara itu, pengumuman yang dibuat baru-baru ini mengenai perjanjian usaha sama antara Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dengan syarikat Korea, CJ O Shopping Co Ltd bagi membangunkan rangkaian beli-belah dari rumah, bakal membuka peluang yang besar kepada Media Prima untuk menyertai pasaran runcit tempatan, di samping merealisasikan peluang pendapatan baharu.

MPTN juga akan berusaha membuat pelaburan berhemat untuk isi kandungan tempatan dan luar negara bagi memastikan kedudukan kekal dominan bagi semua stesen televisyennya.

Bagi media cetak, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) akan terus mempelbagaikan aliran pendapatannya sambil menambah baik jenama dan tawaran kandungan sepanjang 2015.

Ini termasuk pelancaran aplikasi mudah alih untuk New Straits Times, BH dan Harian Metro serta penawaran kandungan baharu melalui platform digital seperti laman web berita, ePaper, Google Play Newsstand dan di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta Youtube.

Sementara itu, Big Tree Outdoor (BTO), syarikat pengiklanan luar rumah (OOH) milik Media Prima, akan meneruskan strateginya dalam membangunkan penyelesaian pengiklanan luar rumah dalam bentuk digital di tapak premium sambil berusaha untuk mendapatkan konsesi penting yang menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada 2015.

Berita Harian X