Sabtu, 27 Februari 2016 | 1:03pm

Peniaga barang lusuh mati ditembak

TAIPING: Seorang peniaga barang lusuh maut ditembak di Jalan Perusahaan 3, berhampiran sebuah pasar raya besar di Taman Tekah Permai di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 40 tahun ditemui terbaring dengan kesan tembakan di kepala, perut dan lengan kanan oleh adiknya selepas dimaklumkan oleh pekerja abangnya.

Sebelum itu, mangsa menghubungi pekerjanya pada jam 8.45 malam bahawa dia ditembak.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata mangsa dibawa ke Hospital Taiping dan disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

"Motif belum dapat dipastikan dan polis tidak menolak kemungkinan perbuatan dendam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal polis mendapati mangsa yang sudah berkahwin, mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk dadah.

Bedah siasat ke atas mayat dilakukan di Hospital Taiping jam 10 pagi ini.

Berita Harian X