Selasa, 21 Oktober 2014 | 2:27pm

Tren baharu untuk laluan LRT Ampang mulai Oktober 2015


PENGERUSI Prasarana, Tan Sri Ismail Adam melihat model tren selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman antara Prasarana dan pengeluar tren China, CSR Zuzhou Electric Locomotive Co Ltd (CSR ZELC) untuk membekalkan kenderaan rel ringan (LRV) bagi Laluan Ampang, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd akan menggantikan kumpulan tren enam gerabak yang kini beroperasi bagi LRT RapidKL (LRT) Laluan Ampang, dengan tren baharu tahun depan bagi meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Lima puluh tren enam gerabak atau kenderaan rel ringan (LRV) berharga RM990 juta sedang diperoleh daripada pengeluar tren China CSR Zuzhou Electric Locomotive Co Ltd (CSR ZELC).

LRV terbabit dijadual diserahkan mulai Disember dan dijangka beroperasi secara berperingkat-peringkat mulai Oktober 2015.

Pengerusi Prasarana Tan Sri Ismail Adam, berkata tren baharu itu akan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat, termasuk televisyen litar tertutup (CCTV), tingkap kecemasan, kipas pengudaraan kecemasan, peranti pengesanan asap dan kebakaran serta sistem pemantauan automatik operasi tren.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman antara Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Timbalan Ketua Pengarah CSR ZELC Lou Chongfu untuk membekalkan LRV terbabit bagi Laluan Ampang, di sini hari ini.

Tren berkenaan, yang turut dilengkapi paparan destinasi interaktif dalam tren, tempat duduk tidak melungsur turun, LCD hiburan bermaklumat dan ruang kerusi roda yang lebih luas, akan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih menarik untuk pengguna.

Purata penumpang kini mencecah 180,000 orang sehari.

Operasi RapidKL LRT Laluan Ampang yang dimulakan pada 1996 dikenali sebagai perkhidmatan STAR-LRT sebelum diambil alih oleh Prasarana pada 2002 bersama-sama perkhidmatan PUTRA-LRT yang dijenamakan semula sebagai RapidKL LRT Kelana Jaya. - BERNAMA

64 dibaca
Berita Harian X