Ahad, 28 Februari 2016 | 12:03am
CONTOH rumah yang menggunakan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
CONTOH rumah yang menggunakan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
BANGUNAN Suruhanjaya Tenaga yang menggunakan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
BANGUNAN Suruhanjaya Tenaga yang menggunakan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Unit Pentadbiran, Pengurusan dan Fasiliti, Suruhanjaya Tenaga, Hamidah Abdul Rashid (dua dari kanan) semasa menerangkan tentang Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) di Bangunan Suruhanjaya Tenaga. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Unit Pentadbiran, Pengurusan dan Fasiliti, Suruhanjaya Tenaga, Hamidah Abdul Rashid (dua dari kanan) semasa menerangkan tentang Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) di Bangunan Suruhanjaya Tenaga. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tuaian hujan bantu atasi gangguan bekalan air


PUTRAJAYA: Perubahan cuaca dan iklim dunia yang mengalami pertukaran ketara menuntut pelbagai usaha dilakukan dan alternatif dicari bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih.

Pengarah Bahagian Kawalan Bangunan, Jabatan Kerajaan Tempatan, Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, berkata walaupun menerima hujan sepanjang tahun dan terletak di kawasan Khatulistiwa, Malaysia tidak terkecuali daripada diancam kekurangan bekalan air bersih atau air terawat. 

Didorong kesedaran itu, beliau berkata, jabatan yang bernaung di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengambil inisiatif mempergiatkan usaha menerapkan kepentingan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dalam projek pembangunan baharu.

Katanya, SPAH adalah sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan yang dikumpul daripada bumbung bangunan yang kemudian disalurkan ke tangki penyimpanan air hujan sebelum digunakan semula untuk tujuan tertentu.

"Ia adalah inisiatif terbaik bagi mengurangkan pergantungan kepada air bersih atau air terawat yang dihasilkan di loji rawatan air.

"Dengan pelaksanaan SPAH, ribuan 'empangan kecil' dalam bentuk tangki air hujan akan terbina di bangunan dan akan menyumbang ke arah penjimatan air terawat, pengurangan risiko banjir kilat serta keperluan untuk membina atau menaik taraf lebih banyak empangan. 

 SISTEM Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang digunakan untuk menyiram rumput di sekitar Bangunan Suruhanjaya Tenaga. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SISTEM Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang digunakan untuk menyiram rumput di sekitar Bangunan Suruhanjaya Tenaga. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Air hujan yang dikumpul juga akan dapat menyumbang ke arah pembangunan teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar kerana ia dapat digunakan untuk pelbagai tujuan kecuali keperluan makan atau minum," katanya.

Beliau berkata, SPAH boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara dan kaedah daripada, bermula daripada yang sangat mudah sehinggalah kepada sedikit rumit. 

"SPAH yang paling mudah sebenarnya sudah lama dipraktikkan, malah ia sudah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi.

"Antara contoh SPAH yang paling dekat dengan kita adalah takungan air hujan dalam tempayan yang digunakan untuk membilas kaki sebelum naik ke rumah, yang biasanya menjadi budaya masyarakat kampung zaman dahulu," katanya.

Mengulas lanjut, Redza berkata, SPAH yang digunakan pada bangunan komersial biasanya terdiri daripada empat elemen utama iaitu kawasan tadahan, sistem saliran, tangki simpanan dan sistem pengagihan air hujan.

"Kawasan tadahan air merangkumi bumbung rumah atau bangunan yang digunakan sebagai laluan air hujan, sebaliknya  permukaan lantai luar bangunan, kawasan letak kenderaan, kawasan lapang serta kawasan luar lain juga boleh dijadikan sebagai tadahan tetapi ia tidak sesuai bagi SPAH kerana faktor pencemaran.

PENGARAH Bahagian Kawalan Bangunan, Jabatan Kerajaan Tempatan, Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PENGARAH Bahagian Kawalan Bangunan, Jabatan Kerajaan Tempatan, Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Sistem saliran pula perlu untuk mengalirkan air hujan dari kawasan tadahan ke tangki SPAH, manakala tangki simpanan disediakan bagi tujuan mengumpul dan menyimpan air hujan yang biasanya diletakkan di ruang atas, dalam, atas tanah, bawah tanah atau secara berasingan dengan bangunan.

"Sistem agihan air hujan pula terdiri daripada rangkaian paip bagi mengagihkan air dari tangki ke tempat untuk kegunaan yang bersesuaian seperti mencurah tandas (flush), menyiram tanaman atau mencuci bangunan," katanya.

Beliau berkata, melalui penyelidikan yang dijalankan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), mutu air hujan bagi SPAH adalah di dalam julat yang dibenarkan iaitu standard Kelas IIB (sesuai untuk reaksi dan sentuhan badan), bagaimanapun ia tidak sesuai untuk diminum dan mandi.

"Kajian NAHRIM juga mendapati penggunaan SPAH berupaya menjimatkan penggunaan bekalan air awam sehingga 40 peratus sehari, sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan air terawat untuk jangka masa panjang. 

"Selain itu, NAHRIM juga mendapati sekiranya SPAH dipasang secara sempurna di kawasan perumahan, ia dapat mengurangkan air larian permukaan (surface runoff) yang memasuki sistem saliran awam sebanyak 10 hingga 50 peratus, yang mana dapat membantu mengurangkan risiko banjir kilat," katanya.

KETUA Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ab Rahman Awang (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Bahagian Kawalan Bangunan, Jabatan Kerajaan Tempatan, Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool tentang Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ab Rahman Awang (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Bahagian Kawalan Bangunan, Jabatan Kerajaan Tempatan, Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool tentang Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Redza memaklumkan, Mesyuarat Kabinet pada 27 April 2011 dan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 23 Mei 2011 bersetuju untuk mewajibkan pemasangan SPAH dalam bangunan.

"Pemasangan SPAH dalam bangunan diwajibkan melalui pindaan kepada Undang-undang Kecil (UUK) Seksyen 2, 10 dan 115 di bawah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 supaya ia diambil kira ketika proses rekabentuk yang akan disemak sebagai syarat kelulusan pelan bangunan baharu.

"Walaupun pindaan itu diluluskan, pelaksanaannya tertakluk juga kepada pewartaan undang-undang oleh kerajaan negeri. 

"Setakat ini, negeri yang sudah mewartakan SPAH adalah Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan, Perlis, Pahang dan Pulau Pinang, manakala tiga negeri lagi iaitu Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu, masih membuat semakan untuk pewartaan.

"Sejak 2012 hingga tahun lalu, 1,692 projek pembangunan dan 17,221 bangunan di negara ini termasuk di Sabah serta Sarawak melaksanakan SPAH. 

"Antara bangunan yang mempunyai sistem SPAH paling teratur ialah di bangunan Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya; Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya dan pusat beli-belah One Utama, Damansara," katanya.

Beliau berkata, bagi bangunan kediaman baharu, SPAH perlu dipasang hanya untuk rumah banglo dan rumah berkembar yang mempunyai kawasan bumbung bersamaan atau melebihi 100 meter persegi saja.

"Bagi bangunan bukan kediaman pula membabitkan semua kategori bangunan berasingan seperti bangunan kerajaan, institusi, komersial, industri dan lain-lain yang mempunyai kawasan bumbung melebihi 100 meter persegi.

KETUA Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ab Rahman Awang menunjukkan buku garis panduan SPAH. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ab Rahman Awang menunjukkan buku garis panduan SPAH. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Kawasan bumbung perlu melebihi 100 meter persegi bagi memastikan terdapat kawasan tadahan yang luas dan mencukupi untuk menadah serta mengumpul air hujan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ab Rahman Awang, berharap semua kerajaan negeri dapat mewartakan SPAH sebagai persediaan kepada mengurangkan pergantungan negara kepada sumber air terawat.

"Ekoran pertambahan penduduk dan peningkatan kegiatan perindustrian dari semasa ke semasa, kekurangan bekalan air bersih akan terus dialami sekiranya langkah proaktif untuk mengatasinya tidak diambil," katanya. 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X