Ahad, 28 Februari 2016 | 10:51pm

Nicol mara suku akhir Terbuka Windy City


NICOL mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Windy City 2016 di Chicago, Amerika Syarikat. - Foto fail NSTP/Rosli Ahmad

KUALA LUMPUR: Pemain nombor dua dunia, Datuk Nicol David, mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Windy City 2016 di Chicago, Amerika Syarikat.

Menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.windycityopen.ussquash.com, Nicol mengambil masa cuma 31 minit untuk menundukkan pemain England Sarah-Jane Perry 11-6, 11-9 dan 11-5.

"Sarah-Jane ialah seorang pemain yang sangat teknikal, beliau memukul bola dengan baik dan hari ini, beliau mengasak saya dari semua penjuru dan meletakkan saya di bawah tekanan dengan asakannya.

"Jadi, saya memastikan saya tidak memberinya ruang untuk menguasai bola.

"Yang penting ialah tidak memberi laluan mudah kepadanya," kata pemain berusia 32 tahun itu, dipetik dalam laman web itu.

Pada pusingan berikutnya, Nicol akan bertemu pemain Mesir, Nour El Sherbini, yang menewaskan pemain negara, Delia Arnold.

Nour menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan Delia 11-5, 11-9 dan 11-8 dalam masa 30 minit.

Nour berkata, beliau menghadapi cabaran paling sengit daripada Delia sebelum mencapai kemenangan. - BERNAMA

Berita Harian X