Selasa, 21 Oktober 2014 | 4:43pm

Hujan tidak halang Malaysia kuasai acara lompat jauh di Incheon


LOMPATAN EMAS... Atlet negara, Abdul Latif Romly ketika beraksi pada acara lompat jauh lelaki T20 Kejohanan Sukan Para Asian 2014 di Stadium Utama Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, hari ini. Abdul Latif berjaya membawa pulang pingat emas untuk negara selepas merekodkan catatan sejauh 7.01 meter. - Foto BERNAMA

INCHEON: Keadaan hujan semasa berlangsungnya acara lompat jauh lelaki T20 di Sukan Para Asia 2014 tidak menghalang atlet negara menampilkan aksi terpuji menguasai pingat emas dan perak di Stadium Utama Sukan Asia Incheon, di sini hari ini.

Abdul Latif Romly dan Mohd Fazli Fauzil memastikan penguasaan Malaysia dalam acara berkenaan apabila masing-masing merekodkan lompatan sejauh 7.01 dan 6.47 meter.

Pingat gangsa milik atlet Arab Saudi, Asaad Ahmad M Sharaheli yang melakukan lompatan sejauh 6.29 meter.

Ketika ditemui Bernama selepas acara berkenaan, Abdul Latif bagaimanapun kecewa kerana catatan dilakukannya kerana ia gagal melepasi rekod peribadinya iaitu sejauh 7.13 meter.

"Memang gembira dapat pingat emas tetapi pada masa sama, agak sedih dan terkilan kerana tidak mencapai sasaran jarak yang saya mahukan iaitu 7.80 meter.

"Saya harap sebelum Sukan Paralimpik Rio 2016, saya dapat mencapai sasaran melakukan lompatan sejauh 7.80 meter," katanya.

Ketua jurulatih olahraga negara, R Jeganathan berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian kedua-dua atlet berkenaan kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Acara ini memang sasaran kami. Sebelum datang ke sini, kami sudah melihat dan menilai pencapaian atlet lain.

"Kebanyakan mereka (atlet negara lain) biasanya mencatat rekod lompatan purata 6.07 atau 6.08 meter. Jadi kita memang sudah lihat peluang meraih pingat emas," kata Jeganathan. - Bernama

Berita Harian X