Selasa, 1 March 2016 | 4:05pm

Media Prima lancar stesen radio baharu Koolfm


SEELAN Paul (tengah) bersama barisan penyampai radio Kool FM pada majlis pelancaran siaran baharu radio itu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (MPB) terus mengukuhkan kedudukan sebagai konglomerat media terbesar menerusi penubuhan sebuah lagi stesen radio, Koolfm, yang dijadual beroperasi 3 Mac ini.

Stesen radio nasional yang menggunakan tagline Temanmu, Muzikmu itu boleh diikuti di sekitar Lembah Klang menerusi frekuensi 101.3 FM, manakala 90.2 FM di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul, berkata penubuhan Koolfm yang menawarkan dendangan malar segar menyediakan lebih pilihan kepada masyarakat, khususnya pendengar.

"Kami teruja untuk bersiaran dengan Koolfm yang mensasarkan pendengar berusia 22 tahun hingga 44 tahun yang sentiasa dahagakan informasi dan hiburan," katanya pada majlis pelancaran, radio berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri FD Iskandar; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Kamal Khalid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah.


ANTARA barisan penyampai KoolfM yang mensasarkan pendengar berusia 22 tahun hingga 44 tahun.

STESEN radio baharu Media Prima, Koolfm.

Kumpulan pelaburan media bersepadu terkemuka ini memiliki 100 peratus kepentingan ekuiti dalam TV3, 8TV, ntv7 dan TV9 serta lebih daripada 98 peratus kepentingan ekuiti The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), selain mempunyai tiga stesen radio iaitu Fly FM, Hot FM dan One FM.

Sementara itu, majlis sama turut mengumumkan barisan penyampai membabitkan muka baharu seperti penyanyi Haiza yang digandingkan dengan bekas DJ HotFM, AG atau nama sebenarnya, Muhammad Azmir Selamat, 35.

Mereka dipertanggungjawabkan mengendalikan slot seawal jam 6 pagi manakala seorang lagi penyampai daripada stesen di bawah bumbung sama, Liza ditempatkan di segmen 10 pagi hingga 3 petang secara solo.

Sementara itu, Ikhwan yang bergelar penyampai HotFM sejak 10 tahun lalu juga menggalas tugas baharu di KoolFM dan dipadankan bersama DJ daripada HotFM Kelantan, Farid, untuk slot petang.

Melengkapkan pasukan itu ialah Ezaq yang juga penyampai berpengalaman HotFM Kelantan apabila diamanahkan mengelolakan segmen jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Berita Harian X