Selasa, 1 March 2016 | 4:22pm

Remaja antara 10 penagih ditahan

ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam Ops Bersepadu di kawasan ladang kelapa sawit, Batu 10, Jalan Apas, Tawau.
ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam Ops Bersepadu di kawasan ladang kelapa sawit, Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

TAWAU: Seramai 10 lelaki disyaki penagih dadah termasuk seorang remaja berusia 13 tahun, tidak sempat melepaskan gian apabila diserbu polis di ladang kelapa sawit di Batu 10, Jalan Apas, dekat sini, pagi tadi.

Dalam operasi bermula jam 4.30 pagi hingga 11 pagi itu, suspek ditahan adalah lelaki berusia 13 hingga 52 tahun penagih dadah yang sebahagian besarnya dipercayai bekerja sebagai buruh ladang dan tinggal sekitar kawasan terbabit.

Operasi diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Deputi Superintendan Jasmin Hussin, bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), susulan maklumat orang awam serta pemantauan dan intipan.

Difahamkan, kumpulan penagih berkenaan mendirikan sebuah pondok dalam kawasan tersorok di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata beberapa suspek cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis menggagalkan usaha mereka.

"Ujian saringan air kencing mendapati 10 daripada lelaki terbabit disahkan positif dadah jenis syabu, termasuk seorang lelaki dipercayai pengedar kepada penagih di kawasan ladang sawit berkenaan.

"Kita turut merampas 5.1 gram dadah disyaki syabu daripada suspek," katanya di sini, hari ini.

Fadil berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan dikenal pasti dijadikan 'sarang penagihan dadah' di daerah ini, termasuk ladang kelapa sawit bagi membanteras sepenuhnya kegiatan terbabit.

"Semua suspek ditahan di lokap IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama," katanya.

Berita Harian X