Rabu, 2 March 2016 | 8:07am

Malaysia Airlines jangka untung menjelang 2018

KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAB), Christoph Mueller. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SEPANG: Pelan pemulihan Malaysia Airlines berjalan lancar seperti dijadualkan dan bukan mustahil untuk syarikat penerbangan nasional itu kembali mencatat keuntungan menjelang 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAB), Christoph Mueller, berkata pelan perniagaan syarikat penerbangan bukan dibangunkan dengan harapan, sebaliknya ia bersandarkan kepada fakta.

Sejak beroperasi 1 September lalu, Malaysia Airlines kini mencatatkan kemajuan baik dari segi pendapatan setiap tempat duduk bagi setiap kilometer (RPK) mengikut standard industri, selepas sekian lama berhadapan masalah kewangan dan diburukkan lagi dengan tragedi berganda membabitkan syarikat itu pada 2014.

Malah, beliau berkata, syarikat turut mencatatkan kemajuan dalam kos setiap tempat duduk bagi setiap kilometer (ASK) yang mana ia sejajar dengan usaha jitu syarikat untuk mengurangkan kos, memandangkan masalah kos adalah lebih besar berbanding masalah pendapatan.

"Pelan perniagaan kami bukannya dibangunkan dengan harapan. Ia adalah mengenai fakta. Saya percaya terdapat dua faktor yang di luar kawalan kami iaitu ketidaktentuan permintaan berikutan tragedi MH370 dan tukaran asing yang mana ringgit lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Ini adalah dua faktor di luar kawalan kami, yang lainnya boleh dilaksanakan. Berdasarkan pengalaman lalu, saya yakin ia boleh dilaksanakan," katanya dalam temubual bersama akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di Sepang, Selangor, minggu lalu.

Sementara itu, Mueller berkata, persekitaran harga bahan api yang rendah juga membantu Malaysia Airlines dalam mengurangkan kos operasi.

GAMBAR hiasan. - Foto EPA

Katanya, berdasarkan pertemuan dengan peserta industri yang lain, kebanyakannya berpendapat harga minyak mentah dunia dijangkakan berada di bawah AS$50 setong sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun lagi.

Beliau berkata, terdapat dua perkara penting yang boleh dilakukan Malaysia Airlines bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dalam pelan pemulihannya berjaya dicapai.

"Yang pertama ialah membeli secara bijak dan kedua adalah membeli pada harga yang rendah. Apa yang membuatkan syarikat penerbangan berada dalam krisis, ia boleh jadi salah strategi atau strategi yang betul tetapi pelaksanaan yang salah.

"Saya fikir, Malaysia Airlines berhadapan kedua-duanya. Sebahagian adalah strategi yang salah dan juga pelaksanaan yang sangat lemah. Jadi, saya percaya sebab kenapa penstrukturan semula Malaysia Airlines menjadi lebih sukar serta mengambil masa lama," katanya.

Mueller berkata, pihaknya akan menggunakan aplikasi mudah alih serta menggunakan sistem perkhidmatan penumpang (PSS) yang baharu dalam meningkatkan kecekapan operasi serta pendapatannya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses tender pusingan akhir untuk PSS dan dijangka membuat keputusan dalam tempoh empat minggu lagi.

"Sistem itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir pertengahan 2017," katanya yang mempunyai kepakaran dalam memulihkan syarikat penerbangan bermasalah.

Nama: Christoph Mueller

Asal: Jerman

Umur: 55 tahun

Pengalaman: Lebih 25 tahun dalam sektor penerbangan, logistik dan pelancongan

Hobi: Berkebun

 

Berita Harian X