Rabu, 2 March 2016 | 12:52pm

Pendakwa Raya Perancis siasat bidaan Rio, Tokyo

PARIS: Pendakwa Raya Perancis sedang menyiasat dakwaan kemungkinan berlaku rasuah membabitkan bidaan penganjuran Sukan Olimpik di Rio tahun ini dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Sumber mendedahkan penyiasatan bermula pada Disember lalu selepas mengesahkan satu laporan daripada akhbar Britain, Guardian.

"Kami berada di peringkat untuk mengesahkannya dan memeriksa sama ada berlakunya sebarang salah laku," kata sumber itu.

Penyiasatan itu sebahagian daripada kes membabitkan Lamine Diack, bekas Presiden Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF), dan anak lelakinya, Papa Massata Diack.

Diack sudah pun didakwa atas kes rasuah, pengubahan wang haram dan konspirasi. Dia berada di Perancis dan dilepaskan dengan ikat jamin.

Pendakwa Raya di Paris turut mencari Diack, yang dikatakan sedang diburu Interpol kerana mengugut atlet.

Menurut Guardian, Diack dan anak lelakinya bertindak sebagai perantara antara dua tuan rumah itu serta anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Diack dikatakan menyokong bidaan Istanbul untuk temasya 2020, tetapi dipercayai mengubah fikiran apabila penaja Jepun menawarkan kontrak penajaan kepada IAAF.

Pendakwa Raya Perancis juga menyiasat proses bidaan Kejohanan Olahraga Dunia 2021, yang dimenangi Eugene, Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X