Khamis, 3 March 2016 | 9:20am

Pentagon cari pakar godam komputer uji keselamatan


SETIAUSAHA Pertahanan, Ash Carter. - Foto EPA

WASHINGTON: Pentagon kini mencari beberapa pakar penggodam komputer untuk cuba menggodam laman internet umum Jabatan Pertahanan dalam program perintis bertujuan mencari dan memperbetulkan kelemahan keselamatan siber.

Menurut Pentagon, ia adalah kali pertama kerajaan persekutuan melaksanakan program itu dengan penyertaan orang luar untuk cuba memecah masuk rangkaian berkenaan.

Syarikat besar sudah melakukan perkara sama sebelum ini.

Pegawai pertahanan membentangkan garis panduan rancangan itu pada Rabu tetapi tidak memberikan butiran mengenai cara ia berfungsi, jenis sistem Pentagon yang akan diuji dan bagaimana pampasan akan dibayar kepada penggodam.

Digelar 'Menggodam Pentagon', program itu akan bermula pada bulan depan.

Pegawai jabatan dan peguam perlu meneliti beberapa isu perundangan membabitkan kebenaran 'penggodam berniat baik' menceroboh laman web Pentagon.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan, Ash Carter, berkata beliau "menjemput penggodam bertanggungjawab untuk menguji keselamatan siber," dan menambah beliau percaya program berkenaan akan mengukuhkan pertahanan digital dan meningkatkan keselamatan negara. - AP

Berita Harian X