Khamis, 3 March 2016 | 12:28pm

SPM 2015: 1,629 calon di Selangor, 745 di Pulau Pinang dapat semua A


SEBAHAGIAN 30 pelajar gembira dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat kesemua A dalam sembilan subjek di Sekolah Menengah Convent Green Lane, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

SHAH ALAM: Seramai 1,629 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di Selangor memperoleh semua A dalam setiap mata pelajaran, menurun berbanding 2,122 calon yang mendapat keputusan sama pada tahun 2014.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim, berkata daripada jumlah berkenaan, 27 calon memperoleh A+.

Seramai 75,720 calon sekolah kerajaan, swasta dan persendirian menduduki peperiksaan itu tahun lalu di Selangor, berbanding 78,511 pada 2014.

"Gred Purata Negeri (GPN) pula pada 5.06 berikutan bilangan calon mendapat A dan A+ berkurangan. Selangor memperoleh GPN 4.95 pada tahun 2014 dan berbanding tahun lalu.

Di PULAU PINANG, seramai 745 daripada 16,024 calon memperoleh semua A bagi subjek yang diambil, termasuk 20 mendapat semua A+ dan 725 memperoleh kombinasi A+, A dan A-. 

Pengarah Pendidikan negeri, Shaari Osman, berkata 12 sekolah di negeri ini tersenarai sebagai calon sekolah cemerlang dengan keputusan semua A+, tertinggi adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Green Lane dengan lima calon, manakala SMJK Jit Sin bagi sekolah mencatatkan gred purata terbaik di negeri ini.

"Peratusan calon layak menerima sijil menurun daripada 82.1 peratus pada tahun 2014 kepada 80.73 peratus tahun lalu. GPN pula sebanyak 4.96 peratus tahun lalu berbanding 4.83 pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang media di SMK Convent Green Lane, hari ini.

Sepuluh sekolah mencatatkan gred purata sekolah terbaik pula ialah SMJK Jit Sin, SMJK (Perempuan) China Pulau Pinang, SMK Bukit Jambul, SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, SMK Agama (A) Al-Irshad, SMJK Chung Ling di Butterworth, SMK (P) St George, SM Sains Kepala Batas, SMJK Chung Ling dan SMKA (P) Al Mashoor.

65 dibaca
Berita Harian X