Khamis, 3 March 2016 | 4:05pm

Sekat kempen Let's Read The Quran


PENGERUSI Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al - Quran (LPPPQ), Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto Fariz Iswandi

PUTRAJAYA: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa agama Islam seluruh negara akan mengambil tindakan tegas menyekat kempen "Let's Read The Quran".

Kempen berkenaan bagi mempromosi usaha menulis dan membaca al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab.

Pengerusi LPPPQ, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata menulis dan membaca naskhah al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab adalah dilarang dan penulisan al-Quran dalam bahasa lain tanpa teks bahasa Arab tidak boleh dianggap sebagai al-Quran.

"Perbuatan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Harussani berkata, al-Quran yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa membolehkan mereka yang tidak memahami bahasa Arab memahami makna al-Quran, namun terjemahan itu bukan naskhah al-Quran tetapi "terjemahan al-Quran" atau "tafsir al-Quran".

"Namun begitu, terjemahan al-Quran hendaklah bersama-sama dengan teks al-Quran dalam bahasa Arab. Terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang dan bimbang disalah faham, selain membacanya tidak mendapat pahala," katanya.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata KDN melarang sebarang pencetakan dan penjualan naskhah terjemahan al-Quran tanpa teks bahasa Arab.

Perkara itu diputuskan mesyuarat LPPPQ dan selaras keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Ke-24 pada Jun 1989 yang memutuskan `adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada al-Quran dengan tulisan bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan al-Quran'.

Berita Harian X