Jumaat, 4 March 2016 | 12:00am

Manfaat hormon 'bio-identical'


SENAMAN aktiviti sihat menjaga kesihatan. - Foto hiasan

PROSES penuaan sesuatu yang semula jadi bagi setiap insan dan tiada apa yang dapat menahannya. Semakin kita tua, hormon di dalam badan akan berkurangan dan seterusnya menyebabkan tanda penuaan semakin ketara.

Oleh itu, semakin ramai yang beralih kepada rawatan penggantian hormon untuk melambatkan kesan penuaan dan menjaga kesihatan mereka secara amnya.

Penggunaan hormon sintetik sesuatu yang dianggap biasa pada masa kini, tetapi ia masih menimbulkan pelbagai kontroversi.

Hormon sintetik berbeza daripada hormon manusia dan ia juga boleh merangsang hormon tambahan yang tidak diperlukan.

Selain itu, hormon sintetik tidak berupaya untuk mengganti fungsi penting hormon semula jadi manusia dan ada kala boleh memberi kesan sampingan yang berbahaya.

Bantu masalah kesihatan

Lebih ramai pengamal perubatan beralih kepada rawatan penggantian menggunakan hormon bio-identical.

Hormon ini mempunyai struktur molekul yang hampir sama dengan hormon semula jadi tubuh kita termasuk kepada testosteron, estrogen, DHEA, tiroid dan progesteron.

Bagaimanapun, tidak ramai doktor yang dilatih untuk kaedah rawatan hormon bio-identical. Rawatan kaedah hormon gantian ini dikatakan dapat membantu mereka yang mengalami sindrom menopaus dan prahaid (PMS), masalah peningkatan berat yang mendadak dan pelbagai masalah yang berkaitan dengan peningkatan umur selepas 40-an. Selepas mendapatkan rawatan hormon tambahan ini ada yang menyatakan, mereka berasa lebih sihat dan segar.

Hormon gantian berbeza

Kaedah rawatan penggantian hormon menggunakan hormon sintetik tidak semestinya selamat. Malah, ada dalam kalangan doktor yang menganggap kaedah rawatan hormon, tidak elok dan boleh menyebabkan serangan jantung, strok dan kanser payudara.

Ada kajian yang menyatakan, setiap manusia akan kehilangan hormon semakin mereka berusia, akan menjadi lemah, berasa tidak selesa dan kesihatan terjejas. Apabila hormon yang hilang itu digantikan dengan hormon sintetik, keadaan akan menjadi lebih buruk.

Namun, berbeza bio-identical, ia kaedah rawatan lebih selamat dan membantu meningkatkan taraf kesihatan kerana ia mempunyai struktur molekul yang sama dengan hormon semula jadi tubuh kita.

Malangnya, kebanyakan doktor menganggap kedua-dua jenis hormon sintetik dan bioidentical adalah sama. Walaupun doktor menganggap penggunaan hormon sintetik tidak baik, masih banyak syarikat farmasi menjualnya kerana ia memberi keuntungan tinggi. Masih ramai doktor yang tidak mengetahui atau memahami yang kedua-dua jenis hormon itu berbeza sama sekali.

Berikut beberapa pandangan persoalan biasa dikemukakan individu berkaitan isu ini:

Soalan (S): Pada pendapat doktor, adakah rakyat Malaysia masih tidak mempunyai pengetahuan mengenai rawatan kaedah penggantian hormon menggunakan hormon 'bio-identical'?

Jawapan (J): Ya, mereka mungkin tidak mempunyai maklumat mengenainya kerana tidak ramai doktor yang terlatih dalam kaedah rawatan hormon.

S: Bolehkah doktor jelaskan mengenai kebaikan rawatan hormon 'bio-identical'. Apakah kesannyaapabila menggunakan kaedah rawatan ini dalam program kesihatan seseorang individu itu?

J: Ia seperti benda lain yang anda ambil, contohnya pelbagai vitamin yang dapat meningkatkan kesihatan. jika anda tidak mahukan menggunakannya tidak perlu mengambilnya. Hormon bio-identical ada dalam bentuk pil atau krim bergantung kepada kesesuaian individu.

Terdapat banyak data yang menyatakan hormon progesteron dapat melindungi seseorang daripada kanser payudara. Begitu juga dengan testosteron. Misalnya, mengetahui yang anda berisiko untuk mendapat kanser payudara, anda boleh membuat keputusan sama ada ingin menggunakan kaedah rawatan hormon bio-identical sebagai perlindungan daripada penyakit tersebut.

Hormon bio-identical juga membantu pesakit yang mempunyai simptom menopos seperti kepanasan, berpeluh pada waktu malam, pertambahan berat badan dan kesakitan pada bahagian abdomen.

S: Apakah umur yang disarankan bagi wanita untuk memulakan rawatan hormon 'bio-identical'?

J: Kebanyakan wanita mula melalui proses menopaus bermula usia 50 hingga 52 tahun di mana mereka mula kehilangan banyak hormon dan mengalami rasa panas, peluh malam, masalah berat badan dan lain-lain masalah kesihatan.

Bagi wanita yang melalui pramenopaus, apabila anda melangkaui umur 40-an, anda akan kerap berasa lesu dan mengalami masalah berat badan.

Bagi masalah PMS, ia boleh diubati menggunakan hormon progesteron. Apabila anda mengambil hormon progesteron yang mencukupi, masalah PMS dapat dihindari. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ia juga melindungi anda daripada penyakit kanser payudara.

Anda memerlukan tahap hormon yang optimum, bukan hanya sekadar normal kerana ia tidak mencukupi. Bagaimanapun, ia bergantung kepada gejala yang dialami. Sekiranya anda berumur lebih 40 tahun dan mempunyai dua anak, anda mungkin memerlukan lebih hormon tambahan.

Ia juga bergantung kepada jantina, sejarah keluarga, cara hidup dan pelbagai kriteria yang lain.

Setiap insan adalah unik. Seseorang perlu menjalani ujian penilaian tahap kesihatan bagi mengetahui hormon manakah yang diperlukan dan berapakah dos yang tepat untuk mereka.

34 dibaca
Berita Harian X