Jumaat, 4 March 2016 | 7:48am

Eco World International sedia disenarai di Bursa Malaysia

PRESIDENT, Eco World International, Datuk Teow Leong Seng. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Eco World International Bhd (EWI) kini bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia tahun ini, sekali gus bakal menjadikannya antara penyenaraian utama di bursa saham tempatan pada 2016.

Jika menjadi kenyataan, penyenaraian unit perniagaan antarabangsa pemaju hartanah Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) itu akan menyaksikan dana berjumlah melebihi RM2 bilion bakal dijana daripada proses berkenaan.

Draf prospektus bagi rancangan penyenaraian EWI dimuat naik di laman web Suruhanjaya Sekuriti (SC) minggu lalu, membabitkan tawaran jualan 2.15 bilion saham atau mewakili 89.7 peratus modal sahamnya yang diperbesarkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EWI, Datuk Teow Leong Seng, berkata pihaknya berharap dapat memuktamadkan tawaran awam permulaan (IPO) menjelang pertengahan tahun ini, tertakluk kepada kelulusan diperoleh daripada SC.

"Kami sedang menunggu dan berharap semua proses berjalan lancar. Begitupun, EWI memberikan tawaran unik kerana syarikat ini adalah sebuah pemaju hartanah yang mempunyai akses kepada dua bandar raya global utama iaitu London dan Sydney.

"Malah, bersandarkan kepada angka jualan dicatatkan (di kedua-dua bandar raya terbabit), boleh diketahui bahawa projek yang dilancarkan setakat ini adalah berjaya. (Pelabur) juga tahu kami mempunyai perolehan berdaya maju yang akan direalisasikan dalam masa dua setengah tahun akan datang," katanya dalam temubual bersama BH dan New Straits Times (NST) di sini, baru-baru ini.

Cadangan penyenaraian EWI, jika menjadi kenyataan, sebelum ini dilaporkan bakal menjadi IPO pertama di Malaysia bagi sebuah syarikat yang tidak mempunyai trek rekod perniagaan.

Ia dibuat berasaskan penjualan jenama EcoWorld sebagai antara pemaju hartanah utama tempatan, di samping reputasi Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin sebagai individu berpengalaman luas dalam industri hartanah domestik serta antarabangsa, termasuk ketika menerajui SP Setia Bhd selama hampir 20 tahun.

Mengulas lanjut, Leong Seng berkata, empat projek yang sudah dilancarkan EWI iaitu masing-masing tiga projek di London dan satu di Sydney merekodkan jualan memberangsangkan sejak dilancarkan, bermula pertengahan tahun lalu.

Katanya, angka jualan Oktober lalu menunjukkan 57 peratus unit hartanah yang ditawarkan sudah dijual membabitkan jualan bernilai 554 juta pound (RM3.32 bilion).

"Keempat-empat projek berkenaan akan berjalan untuk tempoh enam hingga tujuh tahun lagi," katanya.

Mengenai perancangan syarikat, Leong Seng berkata EWI sentiasa mencari peluang pembelian bidang tanah baharu yang menjadi sebahagian daripada proses urus niaganya selama ini.

"Kami mahu mencari peluang lebih banyak urus niaga di London, manakala tumpuan di Australia pula adalah di Sydney dan Melbourne," katanya sambil menambah keutamaan EWI adalah untuk membangunkan projek hartanah kediaman dengan sedikit elemen komersial.

Info

Empat projek EWI

* London City Island, Embassy Gardes dan Wardian London di London

* West Village di Paramatta iaitu Daerah Perniagaan Utama (CBD) kedua di bandar raya Sydney, Australia

Berita Harian X