Jumaat, 4 March 2016 | 8:47am

Polis, pembantu restoran cedera diserang lelaki mengamuk

ANGGOTA polis yang tercedera dalam kejadian amuk di sebuah restoran di Seksyen 7 Shah Alam, petang semalam. - Foto Ihsan Polis

SHAH ALAM: Dua anggota polis dan seorang pembantu restoran cedera akibat diserang lelaki mengamuk di sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam, petang semalam.

Koperal Reyme Anuar, 48, dan Lans Koperal Syamsul Nurhisyam Yaakup, 37, serta pembantu restoran warga Thailand berusia 26 tahun itu cedera di kening, rusuk dan dahi selepas diserang suspek menggunakan pemutar skru kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata suspek berusia 48 tahun itu yang dipercayai mempunyai masalah peribadi dengan lelaki Thailand terbabit, datang ke restoran berkenaan sebelum mengamuk.

"Anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) yang dimaklumkan mengenai kejadian bergegas ke tingkat satu restoran berkenaan untuk menenangkan suspek tetapi diserang.

"Suspek ditahan tidak lama kemudian dengan bantuan anggota polis lain manakala pemutar skru yang digunakan dalam kejadian dirampas," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan menghalang tugas penjawat awam.

Berita Harian X