Jumaat, 4 March 2016 | 11:03am

Lori tangki bawa muatan diesel terbalik

.

SEPANG: Sebuah lori tangki membawa muatan diesel terbalik di Simpang LBJ, Jalan Besar Sepang menghala Salak Tinggi kira-kira jam 7 pagi tadi.

Difahamkan, lori tangki itu dalam perjalanan dari Sepang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan lalu terbalik.

Pegawai Bomba Kanan II, Alpian Ab Hadi berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.04 pagi dan sebaik tiba di lokasi kejadian, orang awam sudah mengeluarkan pemandu lori terbabit.

"Berlaku sedikit tumpahan minyak diesel dan kerja pembersihan dilakukan pihak bomba bagi memastikan keadaan selamat serta tidak membahayakan pengguna.

"Pada masa sama, polis turut membantu mengawal trafik berikutan berlaku kesesakan akibat kemalangan itu," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Alpian berkata, wakil syarikat pemilik lori tangki berkenaan tiba di tempat kejadian sebelum kerja pemindahan diesel ke lori lain dilakukan.

Katanya, pemandu lori terbabit, Radziman Shamsudin, 44, tidak mengalami kecederaan tetapi dibawa ke hospital untuk pemeriksaan susulan.

Berita Harian X