Sabtu, 5 March 2016 | 10:30am

Menara Maybank Kemboja dirasmi di Phnom Penh


MEGAT Zaharuddin (tengah) merasmikan Menara Maybank baharu di ibu negara Kemboja, hari ini. - Foto Syed Azwan Syed Ali

DALAM usaha mengukuhkan kedudukannya selaku institusi perbankan terkemuka di rantau Asia Tenggara, Maybank melancarkan Menara Maybank baharu di ibu negara Kemboja di sini, sebentar tadi.

Menara 10 tingkat di Jalan Norodom Boulevard itu dirasmikan Gabenor Bank Negara Kemboja, Dr Chea Chanto dengan disaksikan Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Menara Maybank yang terletak berhadapan Sekolah Rendah Norodom itu menempatkan ibu pejabat Maybank (Kemboja) yang ketika ini mempunyai 21 cawangan di seluruh Kemboja.

Megat Zaharuddin dalam ucapannya menyifatkan perasmian bangunan korporat itu sebagai sebahagian strategi Maybank mengukuhkan operasi di rantau ini dengan Kemboja menjadi "gateway" kepada 16 juta populasinya dan 600 juta populasi ASEAN sejajar pelancaran AEC (Komuniti Ekonomi ASEAN) tahun lalu.

"Menara Maybank adalah bukti kejayaan kami setakat ini dan harapan kejayaan di masa akan datang," katanya berbangga dengan perasmian menara yang dibina di Norodom Boulevard, lokasi strategik di ibu kota Phnom Penh.

Maybank memulakan operasinya di Kemboja pada 1993 dan ia kini mempunyai 21 cawangan di sembilan bandar di negara ini, selain 350 kakitangan.

Maybank sebelum ini menerima Pengiktirafan Bank Terbaik 2015 dan Bank CSR terbaik 2015 di Kemboja oleh Global Banking and Finance Review.Majlis perasmian hari ini turut menyaksikan showcase projek Women Eco Weavers Yayasan Maybank yang menyaksikan komitmen institusi perbankan itu dalam memperkasakan seni tenunan di kalangan wanita tempatan.

Maybank akan membina pusat latihan tenun di wilayah Takeo, kira-kira 50 kilometer dari Phnom Penh, untuk menghidupkan semula seni tenun, melatih generasi baharu dan memperkasa ekonomi penduduk setempat.

Projek Women Eco Weavers Maybank yang akan dikembangkan ke komuniti penenun di negara-negara rantau ini, turut disokong dan diiktiraf Yayasan ASEAN.

Hadir sama Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Raszlan Abdul Rashid, Timbalan Gabenor Phnom Penh, Lok Chumteav Mak Vansitha, Wakil Kementerian Hal Ehwal Wanita Kemboja, Lok Chumteav Nhem Morokot, ahli-ahli lembaga pengarah Maybank, ahli-ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

Berita Harian X