Ahad, 6 March 2016 | 12:28am
Takayuki Ueno, 43, kehilangan ibu bapa dan 2 orang anaknya di hadapan rumahnya yang rosak akibat bencana tsunami di Minamisoma, Fukushima Jepun. Mangsa terdedah diri mereka kepada tahap radiasi yang tinggi lima tahun lalu ketika mencari ahli keluarga dihanyutkan tsunami.

Mutasi, kerosakan DNA dikesan di hutan Fukushima - Greenpeace

TOKYO: Kumpulan alam sekitar Greenpeace memberi amaran semalam, kesan alam sekitar akibat kemalangan nuklear Fukushima lima tahun lalu di hutan berhampiran mula dirasai dan akan kekal sebagai sumber pencemaran selama beberapa tahun akan datang.

Gempa bawah laut 9.0 magnitud pada 11 Mac 2011 di pantai timur laut Jepun menghasilkan tsunami mega yang menenggelamkan sistem penyejukan dan mencetuskan peleburan reaktor di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi.

Pencemaran radiasi tersebar ke kawasan luas dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah, kebanyakannya mungkin tidak akan pulang dalam kemalangan nuklear terburuk sejak tragedi Chernobyl tahun 1986.

Ketika ulang tahun kelima bencana itu semakin hampir, Greenpeace menyatakan tanda mutasi pada pokok dan cacing dengan DNA rosak mula muncul.

Dalam satu laporan, Greenpeace menyatakan "peningkatan jelas dalam pertumbuhan mutasi pokok fir... mutasi diwarisi pada rama-rama rumput biru" selain "kerosakan DNA cacing di kawasan amat tercemar."

Laporan itu muncul ketika kerajaan berhasrat menarik balik arahan pengosongan di perkampungan sekitar loji jana kuasa Fukushima menjelang Mac 2017, jika usaha menyahcemar secara besar-besaran mendatangkan hasil seperti diharapkan. - AFP

Berita Harian X