Ahad, 6 March 2016 | 1:51pm

Rumah terbakar, 4 keluarga tinggal sehelai sepinggang


KEDUDUKAN rumah yang rapat antara satu sama lain dan diperbuat daripada kayu menyebabkan api cepat merebak.

KUALA NERUS: Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Duyong Kecil, di sini, pagi tadi.

Dalam kebakaran itu kira-kira jam 7.15 pagi, seorang warga tua bersama cucu perempuannya berusia dua tahun nyaris menjadi mangsa berikutan api marak dengan pantas.

Kejadian turut menyebabkan kira-kira 14 mangsa gagal menyelamatkan harta benda.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Khairul Ariffin Che Ramli, berkata seramai 31 pegawai dan anggota termasuk bomba sukarela dari Kuala Nerus bersama tiga jentera dihantar ke lokasi.

Katanya, kebakaran menyebabkan dua rumah musnah keseluruhannya manakala dua lagi terbakar 50 peratus.

"Sebaik bomba tiba, api marak di tiga buah rumah namun kita berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

"Kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain dan diperbuat daripada kayu menyebabkan api cepat merebak," katanya ketika dihubung, sebentar tadi.

Kebakaran tidak mengakibatkan kehilangan nyawa manakala punca kebakaran masih disiasat.

Berita Harian X