Isnin, 7 March 2016 | 5:24pm

Ola Bola pungut RM16 juta


FILEM terbitan Astro Shaw iaitu Ola Bola.

KUALA LUMPUR: Selepas 39 hari berputar di pawagam, filem Ola Bola nyata terus mendapat sambutan hangat penonton negara ini apabila mencatat pungutan pecah panggung RM16 juta.

Mula ditayangkan kepada umum pada 28 Januari lalu, karya arahan Chiu Keng Guan ini dalam landasan yang betul untuk mengejar dua lagi filem tempatan dengan kutipan terbesar iaitu Polis Evo (RM18 juta) dan sebuah lagi judul arahannya, The Journey (RM17.3 juta).

Selain sambutan hebat daripada penonton tempatan, filem yang dibarisi rata-rata muka baharu ini juga bakal menemui khalayak antarabangsa apabila ia diundang menyertai Festival Filem Fantastik Golden Horse Taipei, sekitar 8 dan 17 April depan.

Diterbitkan oleh Astro Shaw, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd dan Multimedia Entertainment Sdn Bhd, Ola Bola ialah filem fiksyen mengenai pasukan bola sepak negara yang terdiri daripada pemain pelbagai bangsa pada era 1980-an.

Mereka bukan sekadar berdepan konflik peribadi, malah cabaran sepasukan dalam perjuangan untuk mencipta kejayaan pada peringkat antarabangsa.

Berita Harian X