Selasa, 8 March 2016 | 7:25pm
ROZITA Che Wan mendukung Aaisyah Dhia Rana di Makkah.
AAISYAH Dhia Rana tampil berjubah dan bertudung.

Anak Che Ta dapat perhatian di Makkah

KUALA LUMPUR: Ketika segelintir netizen bertindak mengkritik gaya purdah dan jubah dikenakan Rozita Che Wan untuk menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci, tumpuan juga tertumpu kepada anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.

Apabila si comel itu tampil berjubah, bertudung dan berkaca mata, seperti dikongsi si ibu di laman sosialnya, pastilah ramai yang geram dan jatuh hati pada kanak-kanak berusia 15 bulan berkenaan.

Kanak-kanak yang cukup popular dalam kalangan pengguna laman sosial itu sendiri sememangnya beruntung apabila dapat mengikuti ibunya ke Makkah.

Menerusi gambar yang dikongsi Rozita atau Che Ta, Aaisyah sendiri kelihatan seperti kanak-kanak tempatan apabila kulitnya yang cerah itu tampak kemerah-merahan dek cuaca yang berbeza.

Menurut Che Ta, anak perempuan kesayangannya juga menjadi tumpuan di sana apabila ramai jemaah yang ingin bergambar dengan Aaisyah.

Selain mereka berdua, turut berangkat ke Tanah Suci kali ini ialah dua anak lelaki pelakon itu dan kakaknya. Suami Che Ta, Zain Saidin pula tidak dapat ikut serta kerana terikat dengan komitmen kerja.

"Jika diikutkan, Zain memang tidak membenarkan saya membawa Aaisyah ke sana. Bagaimanapun, ketika tiba di lapangan terbang, baru saya putuskan untuk membawa Aaisyah sekali kerana tidak sampai hati hendak meninggalkannya di Malaysia.

"Mujur beg pakaiannya sudah siap dikemas kerana asalnya memang kami hendak menghantar Aaisyah ke rumah ibu Zain. Rezeki dia untuk mengerjakan umrah juga. Alhamdulillah," katanya yang turut membawa jurugambar khas bagi merakam kenangan mereka sekeluarga sepanjang berada di sana.

Berita Harian X