Selasa, 8 March 2016 | 9:51pm

Maklumat Ops Sangkar bocor


ANGGOTA Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) memeriksa sangkar ikan di sekitar muara Sungai Merbok, Sungai Petani, hari ini. - Foto Omas Osman

SUNGAI PETANI: Ops Sangkar yang dijalankan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di sekitar muara Sungai Merbok, di sini, hari ini 'bocor' menyebabkan lebih 10 sasaran yang diserbu kosong.

Berdasarkan maklumat, sekurang-kurangnya 12 daripada 40 sangkar yang diperiksa dalam operasi semalam dikesan ditinggalkan penjaganya, dipercayai sudah melarikan diri sebaik menyedari operasi dijalankan.

Pengarah Daerah Maritim 1 Langkawi, Laksamana Pertama (Maritim), Zulkarnain Mohd Omar, berkata Ops Sangkar terbabit dijalankan dengan sasaran membanteras aktiviti sangkar ikan secara haram, selain kehadiran pekerja haram, menghalang penyeludupan keluar masuk dadah, aktiviti pemerdagangan manusia dan jenayah sekitar kawasan terbabit.

Beliau berkata, selain 12 sangkar ikan yang dikesan kosong selepas ditinggalkan penjaga, 19 lagi didapati dijaga warga tempatan dan baki sembilan lagi sangkar ikan terbiar.

"Kita percaya ada warga asing bekerja sebagai penjaga di sangkar ikan terbabit secara haram. Bagaimanapun akibat maklumat operasi ini bocor, semua warga asing terbabit dipercayai melarikan diri lebih awal.

"Bagaimanapun, dalam operasi semalam seramai 13 warga tempatan dan empat warga Thailand yang bekerja di sangkar yang diserbu diperiksa, namun tiada sebarang kesalahan dikesan," katanya ketika sidang media di Tanjung Dawai, di sini.

Ops Sangkar dijalankan bermula jam 7.30 pagi membabitkan kawasan dari perairan Kuala Kedah ke muara Tanjung Dawai, sebelum tamat kira-kira jam 4 petang.

Selain APMM, turut terbabit dalam operasi itu ialah enam agensi iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Muda, membabitkan keseluruhan 127 anggota, satu Kapal iaitu KM Sugut dan tujuh bot.

Sementara itu, Zulkarnain berkata sembilan sangkar ikan yang dikesan terbiar dan tidak beroperasi akan dilupuskan supaya Sungai Merbok sentiasa bersih dan selamat, dengan bantuan Jabatan Perikanan.

"Saya amat berpuas hati dengan kelancaran Ops Sangkar ini dan operasi ini akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan perairan Kedah sentiasa terpelihara," katanya.

Berita Harian X