Rabu, 9 March 2016 | 8:00am

Melaka lancar aplikasi pelancongan pintar di ITB


Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

MELAKA: Kerajaan Melaka hari ini melancarkan aplikasi pelancongan pintar pertama 'Destination Melaka' yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai produk pelancongan ditawarkan di seluruh negeri itu.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada pameran pelancongan terbesar dunia di Bursa Pelancongan Antarabangsa 2016 (ITB 2016) Berlin, Jerman, yang bermula hari ini hingga Ahad depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata sempena pameran itu juga, kerajaan turut mengambil peluang merasmikan pra-pelancaran Festival Sungai Melaka Antarabangsa 2016.

"ITB Berlin adalah platform terbaik, selain World Travel Market (WTM) di London yang disertai kerajaan negeri setiap tahun bagi memperkenalkan Melaka di mata dunia.

"Justeru, menerusi aplikasi pintar yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai perjalanan dan produk terkini pelancongan adalah laluan terbaik dalam mempromosikan Melaka serta merapatkan hubungan dengan pemain industri global," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, sebentar tadi.

Penganjuran ITB 2016 adalah platform untuk mengetengahkan dan mempromosikan industri pelancongan negara kepada pelancong Eropah yang mengumpulkan lebih 50,000 pengunjung, ahli perniagaan (115,000), pembida berkualiti (850) dan peserta konvensyen (23,000).

Yang turut menyertai pameran itu Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ab Wahab Ab Latif dan Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad.

Berita Harian X