Rabu, 9 March 2016 | 9:33am

Lynch minta tidak dicalon jawatan Mahkamah Agung

PEGUAM Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch. - Foto REUTERS
PEGUAM Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Peguam Negara AS, Loretta Lynch meminta namanya tidak dicalonkan bagi mengisi kekosongan di Mahkamah Agung berikutan kematian Hakim Antonin Scalia bulan lalu, kata Jabatan Kehakiman semalam.

Lynch, 56, dikhabarkan sedang dipertimbangkan oleh Presiden Demokrat, Barack Obama.

Beliau dipandang tinggi dalam pentadbiran, serta mendapat sokongan kedua belah parti untuk dicalonkan sebagai peguam negara dan akan menjadi wanita berkulit hitam pertama berkhidmat di Mahkamah Agung.

"Memandangkan terdapat beberapa isu penting di Jabatan Kehakiman, dia meminta untuk tidak dipertimbangkan bagi jawatan itu," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Selain Lynch, nama lain yang turut disenaraikan Obama termasuk Sri Srinivasan, Jane Kelly dan Paul Watford, semuanya berkhidmat sebagai hakim mahkamah rayuan persekutuan.

Dalam temu bual dengan Fox News minggu lalu, Lynch menjawab spekulasi bahawa dia sedang dipertimbangkan untuk tugas itu.

"Saya belum ada sebarang perbualan mengenainya dan sangat gembira dengan kerja saya sekarang," kata Lynch.

Kekosongan yang ditinggalkan Scalia, mencetus pertikaian partisan di Washington.

Republikan yang menguasai Senat AS tidak mahu melihat mahkamah beralih ideologi dan tidak akan mengundi mereka yang dicalonkan Obama.

Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell berkata, hakim Mahkamah Agung akan datang harus dipilih oleh pemenang pilihan raya presiden pada 8 November. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X