Rabu, 9 March 2016 | 2:44pm
ZARITH Adzmira Mohd Amin atau Ira kembali ke dunia penyiaran radio.

Ira kembali bergelar penyampai radio

KUALA LUMPUR: Genap setahun meninggalkan stesen Era, Zarith Adzmira Mohd Amin atau Ira tidak menyangka jodohnya dengan dunia penyiaran radio kembali bertaut.

Ira yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Saif Zairil dan Mohd Sufi Zuhair, mula berkhidmat sebagai penyampai radio IM4U secara rasmi sejak Februari lalu.

Bercakap kepada BH Online hari ini Ira mengakui tugasnya menceriakan pendengar stesen radio itu menerusi segmen pagi (jam 8 hingga 12 tengah hari) mengubat kerinduannya untuk berada di konti, sekali gus berceloteh.

Menerusi segmen berkenaan, Ira bergandingan dengan seorang lagi penyampai, Tyler.

"Tahun 2016 boleh diibaratkan sebagai detik saya kembali ke pangkuan radio. Ingatkan, sejak berhenti daripada Era, saya akan duduk saja di rumah, menguruskan suami dan anak.

"Tidak disangka pula rezeki untuk kembali ke radio datang semula. Sebagai permulaan, kontrak saya bersama radio IM4u adalah untuk tempoh selama enam bulan," katanya.

Menurut Ira, semuanya bermula apabila stesen radio berkenaan mengundang bekas penyampai radio lama, termasuk dirinya, untuk menjadi DJ sambilan. Antara bekas penyampai yang diundang memeriahkan segmen malam itu termasuk Burn, Reza Mohamed dan Natalie.

"Saya hanya sempat melakukan kerja sambilan itu untuk tempoh tiga minggu. Kemudian tanpa diduga, saya ditawarkan sebagai penyampai tetap.

"Alhamdulillah, saya mula selesa di stesen radio ini. Sasaran pendengar mereka juga lebih bersifat menongkah arus, selain memutarkan lagu yang jarang dimainkan radio lain. Ia mengingatkan saya kepada pengalaman ketika bekerja di stesen XFM kerana hala tujunya seakan-akan sama," katanya.

28 dibaca
Berita Harian X