Rabu, 9 March 2016 | 6:51pm

Lana Nodin seronok jadi ibu


PELAKON, Lana Nodin bersama suami, Mohd Daud McKienzie.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Lana Nodin mengakui pengalaman menjadi ibu buat kali pertama memenatkan, namun pada masa sama ia juga menyeronokkan dirinya.

Bintang Chow Kit itu melahirkan anak perempuan seberat 4 kilogram, Gia Quinn McKienzie, Januari lalu, hasil perkongsian hidup dengan suami, Mohd Daud McKienzie.

Lana dan pemain pasukan bola tampar Amerika Syarikat itu berkahwin pada Mei tahun lalu.

Ketika dihubungi BH Online, hari ini, Lana yang sedang berpantang di ibu kota berkata, pada saat ini wajah Gia belum dapat didedahkan kepada umum kerana menghormati budaya suaminya.

"Menjadi ibu memang memenatkan. Tambahan pula saya perlu mengembara ke sana-sini mengikut suami hingga anak saya sendiri belum dapat diperkenalkan kepada teman terdekat. Saudara-mara sebelah keluarga saya pun belum bertemu dengannya. Saya sendiri tidak cukup rehat, tetapi pengalaman menjadi ibu cukup nikmat dan indah.

"Melihatnya di depan mata sudah menenangkan saya. Menyentuh kulitnya yang lembut pula, yang bagaikan salji, seakan-akan menjadi terapi diri. Saya memang berasa seperti tidak mahu berenggang dengannya. Suami pun gembira bukan kepalang. Pulang saja dari kerja, memang anak yang dicarinya dulu, hingga saya pun diabaikannya," seloroh Lana yang baru saja pulang dari Singapura.

Difahamkan, Lana yang turut menjalani proses berpantang di New Zealand, akan memperkenalkan Gia pada bulan depan dalam sebuah majlis aqiqah.

"Asalnya, saya memang hendak memberikan kejutan kepada teman media yang rapat, terutama mengenai kelahirannya. Bagaimanapun lain pula jadinya apabila berita kelahiran Gia diketahui terlebih dulu," katanya.

Berita mengenai kelahiran anak perempuan pasangan terbabit tersebar apabila peminat di Singapura mengucapkan tahniah kepada Lana dan suaminya di laman Instagram, selepas terserempak dengan kedua-duanya di sana baru-baru ini.

52 dibaca
Berita Harian X