Rabu, 9 March 2016 | 10:34pm

Kien Keat-Boon Heong mara ke pusingan kedua


BEREGU profesional lelaki, Koo Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Beregu profesional lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bermula langkah kanan apabila mengesahkan slot ke pusingan kedua Seluruh England, sebentar tadi.

Bekas pasangan nombor satu dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan ke atas Manu Attri-B Sumeeth Reddy 16-21, 21-13, 21-15 dari India dalam aksi pusingan pertama di Arena Barclaycard, Birmingham.

Kien Keat-Boon Heong yang kembali berpasangan sejak April tahun lalu selepas berpisah hampir setahun kembali membuat penampilan pada kejohanan berprestij itu selepas dua tahun.

Sebagai rekod, pasangan itu pernah merangkul gelaran juara Seluruh England 2007.

Kien Keat-Boon Heong akan berdepan pemenang perlawanan antara pilihan kedua dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan atau gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk perebutan slot ke ke suku akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memberikan cabaran sengit kepada pilihan keempat kejohanan dari Korea Selatan Ko Sung Hyun-Kim Ha Na sebelum tewas sekali gus gagal mara ke pusingan kedua.

Peng Soon-Liu Ying yang hampir pasti ke temasya Sukan Olimpik Rio memenangi set pertama 21-16 sebelum tewas dua set berikutnya 17-21, 20-22.

Berita Harian X