Khamis, 23 Oktober 2014 | 5:20pm

Maybank IB Bank kekalkan saranan 'pegang' CIMB

KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' CIMB Group Bhd berhubung pendedahan kepada cadangan penggabungan dengan RHB Capital Bhd (RHB Capital) dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB).

Dalam satu nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata, keputusan Bursa Securities tidak membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengundi dalam penggabungan CIMB-RHB Cap-MBSB itu hanyalah halangan sementara.

"Bagaimanapun, kami berpendapat ini adalah keputusan yang sudah dijangka dan mungkin terdapat beberapa pelan kecemasan disediakan.

"Kami berpendapat pihak yang terbabit akan meneruskan penggabungan tetapi sama ada terma perlu disemak semula atau tidak, belum dipastikan," katanya.

EPF memiliki 41.5 peratus pegangan dalam RHB Capital, 14.6 peratus dalam CIMB dan 64.7 peratus dalam MBSB.

Sementara itu, Kenanga Research mengekal saranan 'neutral' ke atas cadangan penggabungan berkenaan walaupun KWSP ditegah daripada mengundi ke atas penggabungan terbabit.

Cadangan penggabungan itu kini lebih tidak pasti kerana pemegang saham utama mereka, iaitu KWSP tidak boleh mengundi menyokong cadangan penggabungan itu.

"Berikutan ketidakpastian mengenai kejayaan cadangan penggabungan itu, kami tidak menolak kemungkinan RHB Cap dan MBSB akan diurus niaga pada diskaun lebih tinggi ke atas harga tawaran masing-masing pada RM10.03 dan RM2.82, terutama dengan prestasi baik saham mereka," kata firma itu dalam satu nota hari ini.

Kenanga Research berkata, ia baru-baru ini menurunkan taraf saranan RHB Capital dan MBSB kepada 'prestasi pasaran' daripada 'prestasi lebih baik' berikutan prestasi kukuh saham mereka selepas pengumuman cadangan penggabungan itu.

"Sementara itu, kami menurunkan cadangan kami ke atas MBSB dengan harga sasaran RM2.65 kepada 'prestasi pasaran'.

"Kami juga mengekalkan 'prestasi pasaran' ke atas CIMB dengan harga sasaran RM7.15 dan RM10.00 untuk RHB Capital walaupun potensi positif di bawah 10 peratus selepas berlaku penjualan besar-besaran di pasaran baru-baru ini, sehingga keadaan lebih jelas mengenai bagaimana pihak terbabit akan memberi reaksi," katanya.- BERNAMA

Berita Harian X