Khamis, 10 March 2016 | 3:30pm

PAS wujudkan blok politik ketiga

KUALA LUMPUR: PAS bakal menubuhkan permuafakatan baharu bersama satu parti politik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata permuafakatan yang bakal mewujudkan blok politik ketiga itu bertujuan bersaing dengan pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Tanpa menamakan parti itu, beliau berkata, permuafakatan itu akan diumumkan pada 16 Mac ini di ibu pejabat PAS.

"Muafakat ini bertujuan bersaing dengan pakatan pembangkang tetapi PAS juga kekal sebagai pembangkang.

"Parti itu bukan berteraskan agama tetapi parti pelbagai kaum, ia adalah parti pembangkang. Di Malaysia ada lebih 20 parti politik berdaftar, ada yang dimiliki satu kelompok, ada dimiliki satu bangsa.

"Perlembagaan PAS menjelaskan kita boleh bekerjasama dengan sesiapa saja yang mempunyai perjuangan dan tuntutan sama dengan PAS," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Takiyuddin berkata, muafakat baharu itu bakal mengukuhkan penguasaan PAS sebagai parti pembangkang yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

"Perancangan masa depan kami bukan saja satu parti menyertai muafakat itu tetapi lebih banyak parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyertainya.

"Kecil atau besar bukan ukuran, asalkan boleh bekerjasama," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan kerjasama membabitkan UMNO, beliau menjawab: "Tidak."

Berita Harian X