Khamis, 10 March 2016 | 10:02pm

Skim pinjaman perumahan SRP, SPB dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Skim Rumah Pertamaku (SRP) dan Skim Perumahan Belia (SPB), dua skim pinjaman perumahan yang dijamin gadai janji oleh Cagamas Bhd (Cagamas), mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negara ini.

Sehingga 31 Januari lalu, sejumlah 5,635 permohonan diterima untuk skim SRP dengan jumlah pembiayaan yang diluluskan RM431.5 juta menerusi bekerjasama dengan 22 bank yang mengambil bahagian.

Bagi SPB yang ditawarkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), sejumlah 1,732 permohonan diterima dengan pembiayaan RM215.5 juta diluluskan setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chung Chee Leong, berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk inisiatif baharu bagi memastikan akses kepada pembiayaan dan mempromosikan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat.

"Mandat Cagamas adalah untuk menggalakkan pemilikan rumah lebih luas dan sudah menyokong pembiayaan serta pemilikan rumah melalui aktiviti sekunder gadai janji dan sebagai penyedia jaminan gadai janji sejak 1987," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Chee Leong berkata, sejajar peningkatan kesedaran orang ramai mengenai skim SRP dan SPB yang dimulakan oleh kerajaan, adalah diharapkan golongan muda akan dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah.

"Cagamas akan meneruskan usaha dengan mengambil kesempatan daripada kekuatan kami untuk menyediakan penyelesaian inovatif bagi menggalakkan pemilikan rumah," katanya.

Skim SRP yang dilancarkan pada 2011 untuk pembeli rumah kali pertama berusia 40 tahun dan ke bawah mendapatkan pembiayaan 100 peratus daripada bank yang mengambil bahagian.

SPB pula yang dilancarkan pada Oktober 2015 adalah satu perkongsian pintar antara BSN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Cagamas.

Belia yang berkahwin dengan pendapatan isi rumah gabungan tidak melebihi RM10,000 boleh memohon untuk memiliki rumah pertama mereka.

SPB menawarkan pembiayaan sehingga 20,000 peminjam yang layak berdasarkan `siapa cepat dia dapat' untuk tempoh dua tahun.

Permohonan pembiayaan akan diproses dan diluluskan berdasarkan kriteria skim serta standard kredit yang tercatat dalam bank masing-masing.

Berita Harian X