Jumaat, 11 March 2016 | 12:02am

Perkara ghaib tak terjangkau akal

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari Kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung) dan tiada seseorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan- Nya." (Surah Luqman, ayat 34)

Allah SWT menegaskan terdapat perkara yang hanya Dia sendiri yang mengetahuinya. Perkara tersebut mengandungi lima perkara yang semuanya berkaitan dengan diri makhluk-Nya sebagai mana yang terkandung dalam ayat yang terakhir surah Luqman ini.

Pengetahuan mengenai lima perkara itu tidak pernah diberikannya kepada sesiapa walaupun kepada malaikat yang terdekat dengan-Nya dan Nabi yang diutuskan oleh-Nya.

Namun demikian, ulama tafsir menyebut bahawa perkara ghaib yang manusia tidak ketahui bukannya sekadar lima perkara ini. Lima perkara ini adalah berdasarkan kepada pertanyaan manusia ketika itu sedangkan di sana terdapat perkara rahsia lain yang tidak diketahui oleh manusia seperti arah debu pasir yang berterbangan dan jumlah daun yang berguguran di seluruh dunia.

Ada seorang lelaki yang dikenali dengan nama Warith Ibnu Amr Ibnu Harithah datang menemui Nabi Muhammad SAW lalu berkata: "Wahai Muhammad, bila berlakunya hari kiamat? Apakah Tuan juga mengetahui balasan pada hari ini dan apakah yang aku akan lakukan pada esok pagi? Adakah Tuan mengetahui di bumi mana aku dilahirkan dan akan mati?"

Kemudian Allah SWT menurunkan firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi amat meliputi pengetahuannya." (Surah Luqman, ayat 34)

Lima kunci perkara ghaib

Sabda Rasulullah SAW: "Kunci perkara ghaib ada lima. Pertama, Allah SWT saja yang mengetahui bila tibanya hari Kiamat. Kedua, Dialah yang menurunkan hujan. Ketiga, Dia juga mengetahui keadaan bayi dalam kandungan. Keempat, seseorang pun tidak mengetahui apa yang akan dilakukannya esok. Kelima, seorang pun tidak akan tahu di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Mengawasi." (Riwayat Bukhari Muslim)

Dalam urusan kedatangan kiamat, hanya Allah SWT saja yang mengetahui bila tiba harinya. Tidak ada seorang pun selain Dia yang mengetahui datangnya hari kiamat, sama ada malaikat yang paling dekat dengan-Nya atau Nabi yang diutuskan oleh-Nya.

Perkara ini turut dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia." (Surah Al-A'raaf, ayat 187).

Harus diingat bahawa kiamat di sini bukan sekadar hari kemusnahan seluruh alam, tetapi juga kematian seseorang juga dianggap seperti hari kiamat untuk dirinya kerana segala amalannya terputus dan tidak boleh lagi diundur masa ke belakang untuk beriman dan juga melakukan amalan soleh.

Allah SWT juga merahsiakan ajal seseorang kerana kerahsiaan itu menjadikan manusia sentiasa berwaspada dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan meninggalkan segala bentuk kejahatan kerana mereka sedar bahawa kematian boleh tiba pada bila-bila masa saja.

Perhatikan apa yang berlaku kepada Ashabul Kahfi, di mana mereka telah ditidurkan oleh Allah di dalam gua selama 309 tahun. Apabila mereka bangun daripada tidur yang panjang, mereka bertanya kepada sesama mereka seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanya sesama sendiri.

Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur." (Surah Al-Kahfi, ayat 19)

Allah SWT jugalah yang menurunkan hujan pada musim yang sesuai mengikut ketentuan-Nya. Allah SWT juga mengetahui bayi yang berada dalam kandungan seseorang wanita itu sama ada lelaki ataupun perempuan. Adakah sempurna bentuknya atau sebaliknya. Ia tetap menjadi rahsia Allah SWT.

Pengetahuan bersifat ramalan

Ahli falak mengetahui bila berlakunya gerhana matahari dan bulan, musim tengkujuh dan musim kemarau mengikut perhitungan yang mereka lakukan. Ini disebabkan perkara itu tidak termasuk dalam perkara ghaib dan boleh diterima oleh akal manusia. Lagipun pengetahuan mereka tentang perkara itu masih lagi bersifat ramalan dan bukannya suatu kepastian.

Dalam aspek kerja dan usaha, seseorang itu juga tidak tahu dengan pasti apa yang bakal dilakukan untuk esok hari. Apa yang dirancang dan terlintas untuk dilakukan tidak menjadi dan kadang kala memperoleh rezeki daripada sumber yang tidak disangkanya. Seseorang itu juga tidak mengetahui di bumi mana dia akan mati umpamanya di negeri atau di lokasi mana secara tepat seseorang itu tidak mengetahuinya.

Diriwayatkan Abi Jaafar Al Mansor, seorang khalifah daripada kerajaan Abasiyah, beliau sangat mencintai kehidupan dan takutkan kematian. Beliau juga sering meminta pandangan daripada ahli nujum dalam urusan kehidupannya. Suatu malam dia bermimpi satu tangan keluar daripada laut dan tangan itu cuba untuk mencapainya sambil meregang-regangkan kelima-lima jarinya.

Lalu dia memanggil orang yang boleh mentafsir mimpinya itu. Ada mengatakan ia membawa maksud lima tahun. Ada yang mengatakan lima bulan. Ada yang mengatakan lima hari. Ada yang mengatakan lima minit. Tetapi apabila mimpi ini dirujuk kepada Abu Hanifah, maka beliau memberikan jawapan kepada khalifah: "Sesungguhnya Allah SWT ingin mengingatkan kepada kamu lima perkara yang tidak diketahui melainkan Allah."

Lima perkara yang disebutkan oleh Abu Hanifah itu merujuk kepada lima rahsia yang dibicarakan dalam surah Luqman di atas.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X