Jumaat, 11 March 2016 | 12:06am
KIM adalah tulang belakang malah menjadi jurulatih kecergasan peribadi yang menjaga diet dan kesihatan dirinya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Isteri urus bukan kawal saya: Keith Foo


KUALA LUMPUR: Tidak lama dulu, populariti jejaka kacak ini memuncak sehingga ramai gadis tergila-gilakannya.

Biarpun memulakan kerjaya lakonan dengan membintangi drama televisyen (TV) atau sinetron di Indonesia, Keith Foo tidak mengambil masa lama untuk mencuri hati peminat tempatan.

Aksi Keith dalam beberapa drama rantaian mencetus fenomena hingga dirinya menjadi rebutan ramai penerbit, beberapa tahun lalu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, pendukung watak Tengku Adam Kamil dalam drama rantaian Ariana Rose ini bagaikan sepi dari jangkauan radar industri hiburan. Apatah lagi sejak dia menjadi suami kepada Kim Raymond, Disember lalu.

Sejak kelibatnya jarang dilihat, tersebar cerita kononnya Keith dikawal isteri yang juga menjadi pengurus peribadinya. Kim mengurus serba-serbi daripada jadual kerjaya seni hingga diet pelakon ini.

BH bertentang mata dengan Keith dan bertanya sendiri mengenai perkara itu.

"Saya masih ada. Saya masih aktif dengan kerjaya seni. Syukur kerana saya masih menerima pelbagai tawaran termasuk menjadi duta produk dan sebagainya.


PELAKON, Keith Foo (kanan) dan isterinya, Kim Raymond pada majlis tayangan perdana Filem Girlfriend Kontrak di E@ Curve. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Mungkin disebabkan sudah lama tidak muncul dalam media dan berkongsi aktiviti, jadi ramai yang membuat tanggapan sendiri," katanya.

Pelakon Langit Cinta ini memberitahu, tidak timbul soal dia membuat keputusan mengehadkan kemunculan di layar seni selepas berkahwin, jauh sekali campur tangan atau tentangan isteri.

"Kim sangat memahami. Saya bersyukur dia banyak membantu menguruskan kerjaya dengan lebih tersusun.

"Saya cukup selesa. Apabila isteri yang uruskan, dia lebih tahu rutin harian saya," katanya.

Menurut jejaka berusia 33 tahun itu, kerjaya seninya berjalan seperti biasa dan tidak ada sebarang kekangan daripada mana-mana pihak termasuk isteri.

Bagi Keith, Kim adalah tulang belakang malah menjadi jurulatih kecergasan peribadi yang menjaga diet dan kesihatan dirinya.

"Saya bertuah kerana isteri menjaga semuanya termasuk soal pemakanan untuk memastikan saya sihat. Kim tahu ini adalah kerjaya dan punca rezeki saya," katanya.


KEITH Foo. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Sedia dibandingkan dengan Aaron Aziz

Bercerita mengenai kerjaya lakonan, anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan ini berkata, dia baru selesai penggambaran filem usaha sama Indonesia dan Malaysia, berjudul Spy In Love. Dalam projek itu, dia berganding dengan Siti Saleha.

Selain itu, Keith bakal muncul dalam drama berjudul Jom Kahwin yang disiarkan di Hyppp TV, tidak lama lagi.

Lebih menarik, Keith memberitahu, buat julung kalinya, dia menyahut cabaran muncul di pentas teater menerusi pementasan Ombak Rindu di Istana Budaya (IB), bulan depan.

"Saya teruja menjayakan watak teraju utama, Hariz. Saya akan berusaha sebaik mungkin membawa watak mengikut cara saya. Saya tahu pasti akan ada pihak membuat perbandingan dengan watak asal daripada versi filem yang dipegang Aaron Aziz," katanya.

Keith berkata, biarpun ada kalanya tertekan dan risau kerana pertama kali bakal beraksi di pentas teater, dia bersedia memberikan yang terbaik untuk peminat.

Keith berkata, sebagai persediaan, dia akan 'berkampung' selama sebulan di IB bagi menjayakan latihan dalam projek yang akan menggandingkan dirinya dengan Uqasha Senrose yang melakonkan watak Izzah.

"Saya sedia terima teguran dan kritikan peminat. Saya jemput ramai-ramai hadir menyaksikan pementasan itu nanti," katanya.


KEITH Foo teruja menjayakan watak teraju utama, Hariz dalam teater Ombak Rindu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Keputusan untuk menerima tawaran berlakon dalam teater dibuat selepas Keith yakin dirinya sudah bersedia memberi komitmen dalam projek itu.

"Sebelum ini, saya ada terima tawaran, cuma jujurnya, saya rasa belum bersedia. Kali ini, saya terima dan tiada alasan untuk saya mensia-siakan peluang ini," katanya.

144 dibaca
Berita Harian X