Sabtu, 12 March 2016 | 5:29pm
Datuk Husni Salleh

TERAJU peruntukkan RM20j program SUPERB

CYBERJAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan sebanyak RM20 juta serta mensasarkan 40 pemenang di bawah program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Husni Salleh berkata, TERAJU akan mengadakan tiga hingga empat siri pemilihan pada tahun ini bagi mencari usahawan muda berumur 40 tahun ke bawah atau syarikat permulaan yang mempunyai idea kreatif dan inovatif serta produk perniagaan berdaya maju.

Bercakap pada pemberita pada sesi akhir 'pitching' siri pertama program SUPERB 2016, Husni berkata program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pelbagai lapisan anak muda dan setelah dua tahun dijalankan lebih 5,000 penyertaan diterima.

SUPERB yang dilancarkan pada Januari 2014 dengan peruntukkan sebanyak RM100 juta bertujuan untuk membantu usahawan muda Bumiputera bertapak dalam pelbagai bidang perniagaan melalui pemberian geran sehingga RM500,000.

"Bagi sesi kali ini sahaja sebanyak 325 penyertaan diterima dan setelah melalui pelbagai saringan, sebanyak 24 peserta dipilih bagi menyampaikan idea mereka hari ini kepada panel juri terpilih yang terdiri dari usahawan dan ahli korporat terkemuka," katanya.

Husni berkata, bagi tujuh siri sebelumnya, TERAJU telah memilih 90 usahawan muda bagi pemberian geran RM500,000 setiap satu dengan peruntukan RM45 juta.

Bagaimanapun pemberian geran akan dilakukan secara berperingkat serta mengikut peningkatan usahawan seperti yang ditetapkan, katanya.

Setakat ini, kata beliau, TERAJU telah melihat kejayaan awal hasil daripada program ini, dengan beberapa usahawan permulaan telah mendapat pelaburan daripada modal teroka serta pelabur lain dari dalam dan luar negara.

"Ada antara mereka telah berjaya menempa nama hingga ke luar negara dari hasil asuhan ahli panel dan 12 agensi yang bernaung di bawah program ini," kata Husni.

Berikutan pelbagai kejayaan, program ini akan diteruskan dengan dana tambahan yang akan diumumkan nanti, tambahnya.

Selain pemberian geran, Husni berkata, TERAJU telah juga menjalin usaha sama dengan Malaysia Debt Venture Bhd untuk menyediakan skim pembiayaan projek berjumlah RM40 juta yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

TERAJU juga turut bekerjasama dengan Taman Teknologi Malaysia bagi menyediakan pusat inkubator bagi syarikat yang bernaung di bawah program SUPERB.

Sementara itu, menurut para juri pada hari ini yang terdiri antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n' Go Sdn Bhd Syahrunizam Samsudin dan Pengarah Urusan Zikay Sdn Bhd Datuk Mohd Kay Ibrahim, secara keseluruhan peserta tahun ini menunjukkan peningkatan dari segi idea dan melihat pasaran di peringkat global. - BERNAMA

Berita Harian X