Selasa, 15 March 2016 | 1:44pm

Penampilan bertudung Ifa Raziah jadi viral

IFA Raziah bertudung bagi menghidupkan watak Rokiah atau Roki untuk telefilem Mak Punya Pasal. - Foto Instagram
IFA Raziah bertudung bagi menghidupkan watak Rokiah atau Roki untuk telefilem Mak Punya Pasal. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Penampilan calon awal Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29, Ifa Raziah bertudung bagi menghidupkan watak Rokiah atau Roki untuk telefilem Mak Punya Pasal, menarik perhatian netizen.

Ramai yang memuji penyanyi lagu Ser Ser Ser itu yang dikatakan cukup manis bertudung. Malah, ada yang meletakkan gambar Datuk Siti Nurhaliza di sebelah Ifa sebagai perbandingan.

Rupa-rupanya, inilah kali pertama Ifa bertudung dalam projek telefilem atau drama.

Berkongsi pengalamannya, Ifa memberitahu BH Online, watak Roki membawa dirinya 'hanyut' dalam karektor bertentangan. Sebelum ini, Ifa banyak melakonkan watak antagonis.

"Disebabkan komitmen dalam sebuah projek drama sudah banyak dilunaskan, saya ambil kesempatan menerima lamaran produksi Mak Punya Pasal iaitu Hana Production.

"Jika diikutkan, dalam penghujung drama Seindah Takdir Cinta, saya mengenakan tudung. Tapi nampaknya, telefilem ini yang lebih dulu melihat saya menjayakan watak bertudung.

"Saya teruja dengan watak bertudung ini. Memang jarang saya dapat watak baik selama ini. Sampai orangpun meluat dengan lakonan 'jahat' saya. Dalam telefilem ini penonton bakal berendam air mata melihat nasib yang dilalui Roki," katanya.

Sempat ditanya apakah watak bertudung membuka jalan untuk dirinya berhijab, Ifa hanya mengharapkan yang terbaik.

"Saya tak mampu hendak menjawab tepat jika persoalan itu diajukan. Insya-Allah, doakan yang terbaik. Mana tahu, satu hari nanti, saya akan ke arah itu (bertudung)," katanya.

Telefilem Mak Punya Pasal arahan Tuan Haji Zaini akan disiarkan TV1 sempena Hari Ibu. Selain Ifa, telefilem itu dibintangi Hisyam Hamid dan Sari Yanti.

Jadi 'ibu sewa'

Bercerita mengenai telefilem Mak Punya Pasal, Ifa membawa watak sebagai wanita yang 'disewa' untuk menjadi ibu kepada watak Raykal, lakonan Hisyam Hamid.

"Gara-gara hendak memikat hati teman wanitanya, Zara yang dilakonkan Sari Yanti, Raykal sanggup menjadikan Rokiah sebagai ibu yang disewa.

"Rokiah bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bangunan yang berdekatan dengan pejabat Raykal. Raykal ini anak orang kaya tapi anak yatim. Raykal dibela ibu bapa angkat yang sudah meninggal dunia," katanya.

Ifa berkata, Raykal tak pernah merasa kasih sayang ibu dan bersikap ego.

"Ini membuatkan Rokiah mahu berhenti daripada terus menjadi ibu 'sewa'. Hendak tahu kesudahannya, kenalah tengok telefilem ini. Kalau cakap sekarang tak jadi kejutan lagilah," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X