Jumaat, 24 Oktober 2014 | 3:43pm
Ketua Eksekutif Hong Kong Leung Chun-ying (kiri) dan bekas Ketua Eksekutif, Tung Chee-hwa pada satu majlis baru-baru ini. - Foto REUTERS

Bekas pemimpin Hong Kong mahu bantahan demokrasi dihentikan

HONG KONG: Bekas pemimpin Hong Kong, Tung Chee-hwa hari ini menggesa penunjuk perasaan menghentikan demonstrasi jalanan dan memberi amaran mengenai kesannya yang amat serius sekiranya tindakan itu diteruskan melebihi sebulan.

Tung adalah Ketua Eksekutif Hong Kong pertama selepas penyerahan Hong Kong ke China pada 1997 yang menyaksikan beliau sendiri disingkir berikutan tunjuk perasaan besar-besaran.

Katanya, tindakan pergerakan itu harus diselesaikan dengan cara aman.

"Kita perlu menamatkan perhimpunan ini bukan saja kerana ia menjejaskan kehidupan orang ramai tetapi juga melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita ketika memberi pandangannya berhubung bantahan terbabit yang bermula hampir empat minggu lalu.

"Sebulan adalah tempoh masa lama dan kesan daripada tindakan ini secara berterusan amat serius," katanya mengenai impak tindakan pergerakan itu terhadap ekonomi bandar raya ini.

Sebahagian daripada bandar raya ini lumpuh oleh perhimpunan beramai-ramai dan sekatan jalan raya selama 27 hari berikutan desakan kumpulan terbabit yang mahukan Beijing menarik balik arahannya untuk menyaring calon pemimpin menjelang pilihan raya 2017.

Pada masa sama, Tung memberi sokongannya kepada pemimpin yang dipertikaikan pergerakan itu, Leung Chun-ying. - AFP

Berita Harian X